Monday , 23 July 2018

Home » Bisnes » PETRONAS, Sarawak tuntut hak

PETRONAS, Sarawak tuntut hak

June 22, 2018 8:26 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
PETRONAS, Sarawak tuntut hak

KUALA LUMPUR,. Ia adalah hari penentuan bagi PETRONAS dan kerajaan Sarawak apabila kedua-dua pihak menuntut hak pemilikan terhadap aktiviti minyak dan gas di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Keputusan mengenai prosiding mahkamah akan dibuat sama ada PETRONAS mendapat perintah tetap bagi kerajaan Sarawak untuk mengawal selia aktiviti huluan di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 bermula 1 Julai 2018.

Ini menimbulkan persoalan sama ada PETRONAS akan terus mempunyai autonomi terhadap sumber minyak dan gas serta aktiviti di seluruh negara dan bukan sahaja di Semenanjung Malaysia.

Penolong Profesor Asia School of Business, Dr Renato Lima de Oliveira, berkata jika setiap negeri berunding semula terma minyak dan gas mereka, ia akan menjejaskan pembangunan industri.

“Ia akan menyukarkan negara untuk melaksanakan isu agenda kebangsaan apabila semua negeri berunding semula terma mereka. Adalah lebih baik jika hanya mempunyai satu entiti untuk menentukan kepentingan minyak negara.

“Dengan entiti berasingan mengawal selia semua sumber minyak dan gas negara, had sempadan akan menjadi kabur. Ia juga tidak jelas sama ada syarikat petroleum mampu memainkan peranan mereka seperti kejayaan yang dicatat oleh PETRONAS.

“Saya fikir isu ini bukan sahaja mengenai sumber semula jadi tetapi lebih kepada mencari hak dan saksama serta Sarawak memaksimumkan pegangannya dalam hasil minyak,” katanya kepada Bisnes NSTP.

Oliveira berkata, ini adalah aspirasi yang sah oleh kerajaan Sarawak dan tindak balas semula jadi untuk berkongsi hasil antara PETRONAS dan negeri Sarawak.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk sebuah negara seperti Malaysia mempunyai syarikat minyak yang lebih dipercayai dan lebih kukuh seperti PETRONAS yang mengawal sumber dan aktiviti minyak.

“Ia juga akan mewujudkan ketidakpastian peraturan apabila setiap negeri mempunyai peraturan minyak dan gas mereka sendiri dan itu belum mengambil kira kos yang lebih tinggi.

“Pelabur lebih tertarik kepada negara yang mempunyai badan pengawalseliaan yang kukuh dan stabil untuk mereka melabur,” katanya.

Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 menyatakan, pemilikan keseluruhan dalam, dan hak eksklusif, kuasa dan kebebasan serta hak meneroka, mengeksploitasi, memenangi dan memperoleh petrloeum sama ada di darat atau luar pesisir Malaysia diletakkan di bawah satu Perbadanan yang tertakluk di bawah Akta Syarikat 1965 atau di bawah undang-undang berkaitan perbadanan syarikat.

Perbadanan yang dinyatakan dalam PDA 1974 adalah PETRONAS.

Kerajaan Sarawak mempertikaikan bahawa PDA 1974 bukan satu pajakan perlombongan berikutan Parlimen tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk meluluskan undang-undang berkaitan pengeluaran pajakan perlombongan.

Ia turut mempertikaikan bahawa PDA tidak mengecualikan PETRONAS daripada mematuhi undang-undang negeri seperti Ordinan Perlombongan Sarawak 1958 dan Kanun Tanah Sarawak.

PETRONAS bagaimanapun mendakwa bahawa Ordinan Minyak dan Perlombongan tidak lagi dikuat kuasakan dan tiada bantahan dari kerajaan Sarawak sejak 1974 mengenai aktiviti huluannya di negeri itu.

Oliviera yang juga ahli Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), berkata Malaysia adalah antara negara berjaya di dunia yang mempunyai syarikat minyak nasional sebagai pengawal selia dan pengendali sumber minyak dan gas.

“Banyak negara mempunyai syarikat minyak nasional, namun tidak semua seperti Malaysia.

“PETRONAS adalah satu daripada sebilangan kecil syarikat minyak global yang telah mencipta kejayaan di dalam dan luar Malaysia serta berupaya membangunkan rantaian bekalan, bakat pengurusan dan memainkan peranan dalam pendidikan negara.

“Ia (PETRONAS) juga satu daripada sebilangan kecil syarikat minyak yang mempunyai kehadiran besar di luar pasaran domestik mereka.” katanya.

Rangka kerja baharu itu memerlukan setiap entiti yang ingin menjalankan aktiviti huluan dikehendaki mendapatkan lesen, permit, pajakan dan kelulusan di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Kanun Tanah Sarawak atau Ordinan Pengedaran Gas 2016.

scroll to top