Saturday , 18 November 2017

Home » Nasional » PH masih bertelagah siapa PM Ke-7

PH masih bertelagah siapa PM Ke-7

June 8, 2017 5:02 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
PH masih bertelagah siapa PM Ke-7

Tan Sri Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meminta kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya
tidak bersikap mementingkan parti masing-masing dalam memutuskan calon yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-7.

Berikutan itu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau mahu kepemimpinan PH tidak membincangkan secara terbuka calon yang layak menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selain itu, katanya, tindakan beberapa pihak termasuk Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu berkenaan hanya akan mengundang persepsi negatif rakyat.

Katanya, rakyat akan menganggap PH gagal mencapai kata sepakat dalam soal siapa paling layak mengepalai kerajaan pembangkang. Muhyiddin berkata, gesaan itu tidak bermakna beliau tidak bersetuju dengan mana-mana calon yang dikaitkan dengan jawatan itu, sebaliknya cara isu itu dibangkitkan hanya akan mengundang salah faham dalam kalangan rakyat.

“Kalau berterusan begini rakyat akan kecewa kerana mereka nak mendukung perjuangan kita tetapi mereka menganggap kita belum sepakat dalam isu siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.

“Bagi saya, sehingga kita capai satu kata sepakat, elok kita tidak keluarkan lagi pandangan sebegitu, duduk bincang, jangan bocorkan dan keluarkan rahsia hingga akhirnya keyakinan pengundi kepada kita boleh terjejas,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, di sini , hari ini.

Minggu lalu, Dr Mahathir dilaporkan menyatakan kesediaan untuk mempertimbang jawatan Perdana Menteri jika PH membentuk kerajaan selepas PRU-14 ketika PKR bertegas mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki jawatan itu yang mendapat sokongan DAP.

scroll to top