Thursday , 20 September 2018

Home » Nasional » PH tidak akan terima UMNO – Dr Mahathir

PH tidak akan terima UMNO – Dr Mahathir

September 15, 2018 7:52 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
PH tidak akan terima UMNO – Dr Mahathir

PETALING JAYA,. Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima UMNO sebagai sebuah parti dalam gabungan PH, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri, bagaimanapun berkata anggota UMNO boleh menyertai mana-mana parti komponen PH jika mereka bertindak keluar daripada UMNO terlebih dahulu.

“Jika mereka (UMNO) mahu bekerjasama dengan PKR, kita tidak akan menerima mereka dalam Pakatan Harapan (sebagai parti komponen).

“Tetapi jika mereka secara individu menyertainya sebagai anggota PKR, Bersatu, DAP, atau apa sahaja (parti dalam PH), maka kita boleh terima mereka tetapi bukan parti itu (UMNO),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya mengenai kemungkinan UMNO bekerjasama dengan PKR dan kembali sebagai parti pemerintah.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata peguam terkemuka Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, pada satu ketika, pernah menyatakan hasrat untuk menjadi Peguam Negara.

“Beliau mahu sangat menjadi Peguam Negara, beliau datang berjumpa saya dan menyatakan Peguam Negara pada masa itu tidak boleh melakukan pendakwaan, mereka akan kalah dalam kes Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Beliau memberitahu, beliau boleh menang. Saya kata, kalau anda rasa boleh menang, pergi beritahu Najib (ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri). Pada masa itu, saya masih berkawan dengan Najib,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir diminta mengulas dakwaan Muhammad Shafee bahawa beliau (Dr Mahathir) yang mahukannya agar mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar dalam perbicaraan kes liwat 2.0.

— BERNAMA

scroll to top