Thursday , 20 June 2019

Home » Nasional » Piagam UMNO, PAS bentuk kerjasama lebih besar

Piagam UMNO, PAS bentuk kerjasama lebih besar

May 24, 2019 11:35 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Piagam UMNO, PAS bentuk kerjasama lebih besar

Tuan Ibrahim Tuan Man

KOTA BHARU,. PAS tidak menolak kemungkinan piagam yang bakal dimeterai bersama UMNO, membawa objektif ke arah kerjasama untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata piagam yang berbentuk Muafakat Perpaduan Ummah itu akan melebarkan lagi hubungan kerjasama kedua-dua parti, berbanding sedia ada.

Katanya, piagam berkenaan akan dideklarasi dalam masa terdekat selepas isi kandungan piagam berkenaan dibincangkan dan sebelum dipersetujui kedua-dua pihak.

“Seperti kita sebut muafakat kita pada waktu sekarang ada tiga perkara, pertama mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK), kita akan satu lawan satu.

“Kedua, mana-mana isu membabitkan umat Islam, kita kena muafakat dan pertahankan bersama dan ketiga adalah menyusun tindakan bersama di peringkat Parlimen.

“Jadi, deklarasi (piagam) yang akan dimeterai tidak lama lagi ini akan membentuk kerjasama lebih lebar daripada itu.

“Mungkin (kerjasama PRU-15), kita tengoklah nanti,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena Ijtimak Pondok Semalaysia 2019, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerjasama UMNO dan PAS akan diperkukuhkan lagi secara rasmi sebaik kedua-dua parti itu memeterai satu piagam bersama selepas Aidilfitri ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas melihat kerjasama kedua-dua parti itu berjalan dengan baik menerusi PRK sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, pembentukan piagam itu masih dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti.

scroll to top