Friday , 21 June 2019

Home » Nasional » PIJ, Kencana Healthcare bangun Kompleks Perubatan Pakar

PIJ, Kencana Healthcare bangun Kompleks Perubatan Pakar

July 22, 2017 12:49 pm Category: Nasional A+ / A-
PIJ, Kencana Healthcare bangun Kompleks Perubatan Pakar

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Perubatan Pakar dan Majlis Jamuan Aidilfitri PIJ dan kumpulan di Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Perbadanan Islam Johor (PIJ) menjalin usaha sama pintar dengan Kencana Healthcare Sdn Bhd bagi pembangunan Kompleks Perubatan Pakar di atas tanah wakaf seluas kira-kira 2.2 hektar di Jalan Tahana, Bandar Baru Uda di sini.

Projek bernilai RM600 juta dan dibangunkan atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada tahun 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kompleks Perubatan Pakar itu mampu menyediakan kemudahan 280 katil pesakit, 60 klinik pakar, 120 bilik penginapan, kemudahan pakar dan 650 tempat letak kenderaan awam.

Katanya, Kencana Healthcare bertanggungjawab membangunkan projek itu dengan pengendali berpengalaman manakala PIJ sebagai Nazir bagi pembangunan atas tanah wakaf itu.

“Selaras objektif utama penubuhan Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ), rawatan percuma akan turut diberi kepada 1,000 hingga 3,000 orang golongan asnaf melalui insurans berkelompok.

“Ini selari dengan gesaan supaya Johor dibangunkan melalui lebih banyak instrumen kemasyarakatan seperti wakaf, termasuk usaha memoden dan menambah baik perkhidmatan perubatan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Perubatan Pakar dan Majlis Jamuan Aidilfitri PIJ dan kumpulan di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kencana Healthcare, Datuk Ahmad Raziff Abu Bakar dan Pengurus Besar PIJ, Zulkiflee Abbas.

Kompleks Perubatan Pakar dengan keluasan binaan 1.76 hektar itu turut merangkumi 32 unit kedai komersial, dewan dan hotel mesra Muslim yang menyediakan 153 bilik bertaraf empat bintang.

Mohamed Khaled berkata, instrumen yang lebih mapan dan inovatif perlu digunakan bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Instrumen yang potensinya selama ini kita pinggirkan, kesampingkan dan tidak diarusperdanakan, iaitu instrumen wakaf sebagai cara membangunkan kemudahan kesihatan dan perubatan masyarakat,” katanya.

Ketika ini ada kira-kira 3,000 hektar tanah wakaf di seluruh Johor.

scroll to top