Saturday , 19 January 2019

Home » Nasional » Pindaan laporan akhir audit 1MDB: Najib hadir beri keterangan di SPRM

Pindaan laporan akhir audit 1MDB: Najib hadir beri keterangan di SPRM

December 10, 2018 3:49 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pindaan laporan akhir audit 1MDB: Najib hadir beri keterangan di SPRM

PUTRAJAYA,. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan pada laporan akhir audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut sumber SPRM, Najib datang ke ibu pejabat SPRM menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia pada kira-kira 10.40 pagi.

Pada 6 Dis lalu, Najib memberi keterangan kira-kira empat jam di SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Pada 25 Nov lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan Najib tahu mengenai perkara itu.

Madinah turut mendedahkan dua perkara penting digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Antara telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini termasuk bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

— BERNAMA

scroll to top