Thursday , 18 October 2018

Home » Nasional » PKR janji proses pengundian pemilihan lebih baik

PKR janji proses pengundian pemilihan lebih baik

September 24, 2018 7:42 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
PKR janji proses pengundian pemilihan lebih baik

Datuk Mohd Rashid Hasnon

BATU PAHAT,. PKR memberi jaminan sistem e-undi yang diguna pakai dalam pemilihan parti di beberapa negeri semalam, akan ditambah baik bagi memastikan proses pengundian di negeri seterusnya berjalan lancar.

Pengerusi Biro Politik PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata jika permasalahan itu masih tidak dapat diatasi dalam tempoh terdekat, kemungkinan besar proses pemilihan di negeri lain yang belum melaksanakan pemilihan akan dijalankan secara manual dengan memangkah nama calon pada kertas undi.

“Kita tidak mahu kekecohan di Pulau Pinang dan Kedah, berlaku di negeri lain.

“Kita juga tidak mahu ada anggota di negeri lain berasa tawar hati untuk keluar mengundi disebabkan masalah ini, walaupun sistem ini dianggap sebagai aras baharu dalam menampilkan pembaharuan sistem demokrasi diamalkan di Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kecemerlangan Motivasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat daerah Kluang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa di sini, hari ini.

Mohd Rashid berkata kekecohan yang berlaku membuka mata pihaknya untuk menambak baik sistem e-undi berkenaan agar lebih efisien.

Selain itu, katanya, ia menunjukkan betapa pentingnya proses simulasi harus dilakukan terhadap sistem baharu bagi menguji keberkesanannya.

“Simulasi lebih perlu jika kawasan (cabang) mempunyai akses dan rangkaian internet yang terhad,” katanya.

Semalam, proses pengundian bagi pemilihan PKR di beberapa cabang di Kedah dan Pulau Pinang terpaksa diadakan lewat dan ditangguhkan ke tarikh lain berikutan beberapa isu terutama masalah teknikal dan kelemahan petugas di pusat mengundi. – BERNAMA

scroll to top