Monday , 20 May 2019

Home » Nasional » PKR serah pada Parlimen tentukan kedudukan Pengerusi PAC

PKR serah pada Parlimen tentukan kedudukan Pengerusi PAC

March 17, 2019 8:35 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
PKR serah pada Parlimen tentukan kedudukan Pengerusi PAC

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

IPOH,. Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Parlimen bagi menentukan kedudukan Anggota Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana pelantikan bagi jawatan itu tertakluk di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Parlimen.

“Saya pulangkan kepada Parlimen sebab pelantikan PAC itu di bawah bidang kuasa Parlimen. Pendirian PKR, setakat atau pada saat Ronald dilantik, Pakatan Harapan (PH) telah memenuhi janji itu.

“Selain itu, setakat ini belum ada perbincangan lanjut dibuat mengenainya di peringkat parti kerana tumpuan kita kini terarah kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Perak di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Ronald kekal selaku Pengerusi PAC biarpun beliau telah keluar dari UMNO Sabah dan menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Keputusan itu bagaimanapun dikritik oleh segelintir pihak termasuk UMNO yang menggesa agar jawatan itu dikembalikan kepada wakil Pembangkang seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, PKR telah bersiap sedia untuk menghadapi PRK Rantau dan akan membuat pengumuman calonnya pada satu majlis hari ini.

Katanya pengumuman itu dibuat lebih awal bagi membolehkan gerak kerja jentera parti di semua peringkat dirangka secara tersusun dan baik.

Mengulas peluang PH dalam PRK tersebut Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu menjelaskan beliau optimis kemenangan mampu digapai meskipun sedar kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

— BERNAMA

scroll to top