Wednesday , 17 July 2019

Home » Bisnes » PKS berperanan penting bangunkan ekonomi Sarawak – Awang Tengah

PKS berperanan penting bangunkan ekonomi Sarawak – Awang Tengah

July 14, 2019 7:21 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
PKS berperanan penting bangunkan ekonomi Sarawak – Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (Gambar fail)

SIBU,. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan aktiviti ekonomi serta kewujudan peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Beliau berkata pelbagai program telah dirancang bagi mempergiatkan aktiviti perniagaan serta menampilkan keupayaan PKS, selain menyediakan platform terutamanya kepada usahawan mikro untuk mengembangkan perniagaan.

“Kementerian Pembangunan dan Perindustrian dan Usahawan Sarawak telah meluluskan bantuan keusahawanan di bawah program Skim Pinjaman Kecil dan Sederhana sebanyak RM20.6 juta kepada 237 PKS sehingga Mac 2019,” katanya pada perasmian Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan merangkap Menteri Muda E-Dagang Sarawak Datuk Naroden Majais.

Menurut Awang Tengah, untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak RM114.8 juta dana perniagaan telah disalurkan kepada agensi-agensi keusahawanan negeri dan persekutuan yang telah memberi manfaat kepada 35,757 usahawan di Sarawak.

Awang Tengah berkata SME Corp. Malaysia pula meluluskan 1,487 permohonan geran dan pinjaman bernilai RM392 juta untuk PKS Sarawak sehingga Mei tahun ini, termasuk bantuan kepada PKS bumiputera di bawah program Bumiputera Enterprise Enhancement Program (BEEP) dengan 148 kelulusan bernilai RM12 juta.

Katanya pada 2016 sebanyak 98.4 peratus atau 62,021 daripada keseluruhan pendaftaran perniagaan di negeri itu terdiri daripada PKS.

Sementara itu beliau berharap sambutan Minggu Keusahawanan dan PKS itu dapat membantu pengusaha PKS negeri dan di seluruh negara untuk mewujudkan rantaian perniagaan lebih kukuh serta meneroka peluang pasaran yang lebih luas.

Sambutan di peringkat negeri itu dianjurkan SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak bermula 12 hingga 14 Julai yang disertai kira-kira 100 usahawan di Sarawak.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru graduan lepasan institusi pengajian tinggi serta latihan teknikal dan vokasional untuk menyertai bidang keusahawanan di Sarawak melalui Program Graduan Ke arah Keusahawanan dan Usahawan Teknikal dan Vokasional.

“Sejak dilaksanakan pada 2018, seramai 402 graduan dan lepasan teknikal dan vokasional telah memohon menyertai program itu,”katanya.

— BERNAMA

scroll to top