Friday , 15 December 2017

Home » Ekonomi » PKS Perlu Tingkatkan Produktiviti, Dan Ekonomi – Najib

PKS Perlu Tingkatkan Produktiviti, Dan Ekonomi – Najib

November 17, 2017 6:36 am Category: Ekonomi, Nasional A+ / A-
PKS Perlu Tingkatkan Produktiviti, Dan Ekonomi – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR, 17 Nov Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu meningkatkanpengeluaran serta sumbangan kepada ekonomi sekurang-kurangnya sebanyak lapan peratus, dalam usaha mencapai sasaran sumbangan 41 peratus kepada ekonomi menjelang 2020, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu melaksanakan transformasi ke atas PKS memandangkan sektor itu akan menjadi pemacu ekonomi dari segi mewujudkan kekayaan dan peluang pekerjaan.

Setakat ini, sumbangan PKS kepada ekonomi adalah sebanyak 36.9 peratus.

“Saya tidak mahu PKS berada di tahap yang lama. Kita mahu PKS ditransformasikan dan atas faktor itulah mengapa kita menyediakan peruntukan terbesar iaitu RM22.2 bilion (dalam Bajet 2018).

“Saya mahu PKS menggunakan peruntukan tersebut untuk tujuan perluasan, pemula niaga, eksport dan automasi bagi Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya semasa sesi ‘town-hall’ sempena perasmian Persidangan PKS dan Pameran Tahunan PKS 2017 di sini, hari ini.

Sesi itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib berkata, beliau tidak begitu gembira dengan prestasi produktiviti PKS.

“Produktiviti perlu meningkat pada kadar yang tinggi, oleh itu saya berharap komuniti PKS akan bersedia untuk mengambil peluang ini dengan benar-benar mengubah mereka dan melakukan perbezaan untuk mencapai 41 peratus sumbangan kepada ekonomi menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi dan mengkhususkan insentif untuk menarik lebih banyak syarikat multinasional beroperasi di negara ini.

“Kini, kita menjadi lebih bimbang mengenai pencapaian. Saya tidak rasa bahawa kita hanya mahu memberi insentif tetapi kita juga mahu menetapkan pencapaian tertentu seperti peningkatan kandungan tempatan secara berperingkat,” katanya.

Perdana menteri mengulas soalan daripada hadirin mengenai strategi untuk menyokong negara sebagai destinasi pelaburan menarik oleh syarikat multinasional.

“Jika kita memberi mereka insentif tanpa pencapaian, saya fikir kita tidak akan memperolehi banyakmanfaat daripada operasi mereka di negara ini. Pada akan datang, itulah yang akan menjadi pendekatan kita, dan saya yakin bahawa PKS Malaysia akan dapat melaksanakan peranan serta mampu menepati kualiti dan piawaian yang diharapkan oleh mereka (syarikat multinasional) daripada kita,” katanya.

Mengenai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), Najib menggesa lebih banyak PKS menyertai platform DFTZ berbanding 1,972 peserta setakat ini.

“DFTZ merupakan inisiatif berkelas dunia. Jack Ma boleh mewujudkannya di mana-mana sahaja memandangkan ia diminta oleh banyak negara, namun beliau memilih Malaysia sebagai DFTZ pertama di luar China,” katanya.

Najib mengunjurkan ekonomi digital Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka pada 2018, meraih manfaat daripada transaksi penggunaan platform DFTZ semasa jualan festival beli-belah ‘Singles’ Day’.

Peserta PKS akan didedahkan kepada pasaran global menerusi platform dalam talian Alibaba.

“Tahun depan, beliau (Jack Ma) akan melancarkan jualan (selama satu minggu) yang mana Malaysia akan dipromosikan melalui dalam talian China. Jualan bernilai US$24 bilion direkodkan semasa sambutan ?Singles’ Day di China tahun ini berbanding US$18 bilion pada 2016,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top