Thursday , 15 November 2018

Home » Bisnes » Platform Reddoorasia.my mudahkan PKS beli iklan surat khabar

Platform Reddoorasia.my mudahkan PKS beli iklan surat khabar

September 11, 2018 10:45 am Category: Bisnes, Ekonomi, Teknologi A+ / A-
Platform Reddoorasia.my mudahkan PKS beli iklan surat khabar

KUALA LUMPUR,. Trapper Media Group melancarkan Reddoorasia.my, platform e-perdagangan automasi sepenuhnya yang membolehkan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengiklan di surat khabar dengan hanya empat langkah mudah.

Empat langkah itu ialah menyemak imbas dan memilih surat khabar, mereka bentuk iklan, membuat pembayaran dan memastikan iklan di terbitkan pada tarikh pilihan. Pengiklan akan dimaklumkan menerusi format e-kertas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Sivanathan Krishnan, berkata platform perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) Reddoorasia.my yang membolehkan pelanggan membeli media secara langsung dengan pemilik media, menawarkan penjimatan kos, menambah keberkesanan operasi dan lebih telus.

“PKS sentiasa menjadi nadi dan pemacu ekonomi Malaysia. Sehubungan itu, kami amat faham kesulitan dihadapi PKS dalam menempah dan membuat iklan,” katanya dalam satu kenyataan.

Krishnan berkata, pihaknya meluangkan banyak masa dan usaha dalam mewujudkan platform yang bertujuan mengurangkan kesulitan dihadapi PKS dalam mendapatkan akses pengiklanan.

Beliau berkata, PKS boleh mengkaji keberkesanan kos sesuatu iklan dalam media, berikutan platform Reddoorasia.my memiliki maklumat dan data diperlukan yang boleh diakses dengan hanya satu klik, sekali gus membolehkan pelanggan membandingkan harga dan memutuskan pilihan media terbaik bersesuaian dengan bajet syarikat.

Sejurus iklan ditempah, PKS dijamin ruang iklan, manakala kesulitan berhubung kos visual kreatif, ditangani menerusi satu pasukan agensi kreatif pakar yang menyediakan templat visual pada harga berpatutan antara RM640 hingga RM2,300.

PKS juga boleh menyediakan visual masing-masing, yang boleh dimuat naik pada platform itu.

Berhubung kesulitan dalam membuat pembayaran, beliau berkata sekiranya PKS menempah secara langsung dengan pemilik media, pembayaran adalah semerta.

Krishnan menjelaskan, pembayaran menerusi platform Reddoorasia.my sama seperti vendor e-perdagangan lain yang mana pemilik PKS boleh menggunakan kad kredit peribadi atau syarikat untuk tujuan pembayaran iklan, sekali gus memberikan PKS kemudahan kredit yang disediakan bank masing-masing atau penyedia kad kredit.

“Bukan saja menawarkan kadar kompetitif, kami juga menyerap kadar transaksi yang dikenakan syarikat kad kredit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam proses mewujudkan pilihan pembayaran bebas faedah untuk tempoh enam hingga 12 bulan untuk pelanggan.

Ciri tambahan lain yang akan diperkenalkan tidak lama lagi ialah pembabitan surat khabar dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, saluran radio dan stesen televisyen.

“Kami sedang berunding dengan pemilik media lain yang melihat Reddoorasia.my sebagai platform perubahan baharu yang, secara radikal, akan mengubah landskap pembelian media berikutan terdapat hampir 907,065 PKS di Malaysia yang menyumbang hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

scroll to top