Monday , 22 October 2018

Home » Nasional » PM di London tingkat pelaburan, hubungan kerjasama

PM di London tingkat pelaburan, hubungan kerjasama

September 23, 2018 8:18 am Category: Nasional A+ / A-
PM di London tingkat pelaburan, hubungan kerjasama

Tun Dr Mahathir Mohamad disambut oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Agensi-agensi Malaysia di London ketika tiba di pangsapuri Hyde Park Gate . - Foto Wisma Putra

LONDON,. Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di United Kingdom (UK) pagi tadi (waktu tempatan) untuk siri pertama lawatan kerjanya ke negara itu.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan pegawai kanan kerajaan, disambut Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia ke UK, Mohd Suhaimi Jaafar serta ketua jabatan dan agensi Malaysia di London, sejurus tiba dari Lapangan Terbang Stansted.

Lawatan kerja dua hari itu akan disusuli dengan lawatan beliau ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang Ke-73.

Ini adalah lawatan kerja pertama Dr Mahathir ke UK sejak menyandang semula jawatan Perdana Menteri dan dijangka membabitkan pertemuan dengan ketua industri, pelabur utama, penganalisis pasaran modal antarabangsa dan pelabur berpotensi di negara itu dan Kesatuan Eropah (EU), pada sesi anjuran Hong Kong and Shanghai Banking Corporation Ltd (HSBC).

Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri akan mengunjungi syarikat berteknologi tinggi, Dyson Design and Engineering Centre, sebelum menyampaikan ucaptama bertajuk ‘The Challenge of Good Governance in the Muslim World’ di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) Isnin ini.

Dr Mahathir juga dijangka menghadiri dialog bersama ahli Kelab Bunga Raya UK yang ditubuhkan pada 2017 oleh sekumpulan pelajar Malaysia di negara itu.

Menurut satu kenyataan oleh Kelab Bunga Raya UK, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan memberi pandangan kepada ahli mengenai peranan mereka dalam merealisasikan visi kelab berkenaan.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Kelab Bunga Raya UK sedia menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat Malaysia di UK dan Ireland.

Selepas menghadiri UNGA, Dr Mahathir dijadualkan kembali ke UK untuk siri lawatan kerja keduanya pada 29 September, dan beliau dijangka menyampaikan ucapan bertajuk ‘Future of Democracy in Asia’ di Chatham House di London.

Wisma Putra berkata, Dr Mahathir juga akan menghadiri satu sesi taklimat berhubung reformasi polis dan sektor awam di UK.

Beliau juga akan menghadiri sesi temu bual dalam program HARDtalk yang disiarkan BBC, selain menjadi hos kepada sesi dialog dan minum petang bersama kira-kira 500 rakyat Malaysia yang tinggal dan belajar di UK.

Lawatan kerja Perdana Menteri dijangka mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

BH

scroll to top