Monday , 26 February 2018

Home » Nasional » PM lancar Kerangka Pembangunan Labuan 2030 hari ini

PM lancar Kerangka Pembangunan Labuan 2030 hari ini

January 18, 2018 1:08 pm Category: Nasional A+ / A-
PM lancar Kerangka Pembangunan Labuan 2030 hari ini

Datuk Seri Najib Razak tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Labuan

LABUAN,. Perdana Menteri tiba di sini sebentar tadi, sempena lawatan singkat ke pulau bebas cukai ini, termasuk melancarkan Kerangka Pembangunan Labuan 2030.

Datuk Seri Najib Razak tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Labuan di sini, pada jam 10.15 pagi tadi sebelum bertolak ke Dataran Labuan dan tiba pada kira-kira jam 10.30 pagi.

Beliau diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Labuan yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Rozman Isli.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.

Di Dataran Labuan, iaitu lokasi berlangsungnya Karnival Rakyat 1Malaysia yang dihadiri ribuan penduduk Labuan, Perdana Menteri dijadual melancarkan Kerangka Pembangunan Labuan 2030.

Ia adalah pelan pembangunan yang dirangka untuk menjadikan Labuan sebuah bandar pulau yang mapan dan pintar dengan tumpuan terhadap dua bidang kritikal iaitu pembangunan ekonomi dan fizikal bagi mengubah landskap ekonominya.

Pada majlis yang sama, Najib dijadual menyaksikan penyerahan Surat Pelantikan Juru Perunding Kajian Pembinaan Jambatan Labuan-Sabah oleh Menteri Wilayah Persekutuan.

Selain itu, beliau akan melancarkan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Arang, Labuan serta menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Labuan Grand Prix Of The Sea.

Lawatan Perdana Menteri diakhiri dengan lawatan ke tapak pameran Karnival Rakyat 1Malaysia dan jamuan makan pemimpin bersama rakyat dengan semua program berlangsung di Dataran Labuan.

Beliau kemudian dijadual bertolak ke Kota Kinabalu untuk meneruskan lawatan kerja dua hari ke Sabah yang bermula dengan tinjauan mesra di tamu Donggongon, Penampang petang ini.

scroll to top