Friday , 17 August 2018

Home » Dunia » PM Mahathir akan hadiri UNGA September ini

PM Mahathir akan hadiri UNGA September ini

July 20, 2018 7:49 am Category: Dunia, Nasional A+ / A-
PM Mahathir akan hadiri UNGA September ini

PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk menghadiri dan berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdulah.

“Ucapan beliau di UNGA kali ini adalah mengenai dasar luar (Malaysia),” katanya pada majlis mengalu-alukan Timbalan Menteri Luar yang baru dilantik Datuk Marzuki Yahya di Wisma Putra, di sini hari ini.

UNGA Sesi ke-73 itu akan bermula pada 18 Sept di New York, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Saifuddin enggan mengulas lanjut ketika ditanya pemberita mengenai laporan Sarawak Report yang mendakwa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah ditahan di China.

“Isu Jho Low ini bawah pengendalian pihak berkuasa khususnya pihak polis. Kami mempunyai keyakinan penuh pihak polis mempunyai segala keupayaan untuk mengesan, mencari, menangkap, membawa balik dan sebagainya. Mereka mempunyai protokol-protokol antarabangsa yang perlu diikuti, mereka lebih mahir,” katanya.

Beliau berkata Wisma Putra hanya membantu apabila khidmat mereka diperlukan.

“… tetapi lazimnya dalam perkara-perkara sedemkian rupa memang pihak polis sedia ada dengan protokol dan kaedah,” katanya.

Semalam portal berita Sarawak Report melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan berita penahanan Jho Low di China.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun dilaporkan berkata pihaknya masih belum menerima maklumat berhubung perkara itu.

Sementara itu, Marzuki ketika berucap pada majlis tersebut berkata beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya berharap dengan pentadbiran Malaysia baharu ini, dengan nafas yang baharu, gandingan dengan Saifuddin, saya yakin kita mampu melakukan yang terbaik untuk negara kita,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top