Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » PM Najib Pengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO

PM Najib Pengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO

December 7, 2017 7:32 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
PM Najib Pengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Mesyuarat yang bermula kira-kira 8.40 malam di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di sini turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta anggota-anggota MT UMNO.

Najib akan merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok serta menyampaikan Ucapan Dasar Presiden kepada 5,739 anggota perwakilan dari seluruh negara.

Perhimpunan tahunan parti yang bermula semalam akan berakhir Sabtu ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata mesyuarat khas MT UMNO itu merupakan rutin biasa yang membincangkan perjalanan mesyuarat esok.

Beliau berkata mesyuarat kira-kira sejam itu tidak membincangkan perkara berhubung Pilihan Raya Umum Ke-14 mahupun calon.

Jelas mengenai pentadbiran untuk kelancaran mesyuarat esok…mesyuarat (MT) hari ini tiada yang luar biasa, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kira-kira sejam itu.

Annuar berkata mesyuarat malam ini turut mendengar laporan wakil-wakil MT di ketiga-tiga mesyuarat sayap UMNO.

Ditanya mengenai tumpuan pada perhimpunan agung kali ini yang menyentuh isu supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang, Annuar berkata jurucakap bebas bersuara dan memberi pandangan.

Kita memberi kebebasan. Jurucakap yang mewakili negeri-negeri masing-masing boleh cakap apa yang mereka mahu, katanya.

— BERNAMA

scroll to top