Monday , 20 August 2018

Home » Bisnes » PM temui peneraju industri Jepun

PM temui peneraju industri Jepun

June 12, 2018 11:23 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
PM temui peneraju industri Jepun

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto AFP

TOKYO,. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini bertemu pemimpin pertubuhan perniagaan dan ekonomi utama Jepun bagi menawarkan lebih banyak peluang pelaburan di Malaysia.

Pertubuhan itu merangkumi Japan’s Keidanren, Japan Chamber of Commerce and Industry, Japan-Malaysia Economic Association, Japan Foreign Trade Council Inc dan Keizai Doyukai.

Antara pemimpin kanan yang hadir adalah peneraju syarikat ternama Jepun seperti Panasonic Corporation, Japan Airlines, Mitsubishi Corp, Hitachi Ltd, Sumitomo Corp, Mitsui & Co, Marubeni Corp dan Honda Motors Co Ltd.

Dalam ucapan pembukaan, Dr Mahathir berkata pelabur Jepun adalah antara yang pertama membangunkan operasi perniagaan di Malaysia dan hari ini ia merangkumi 1,400 kilang di seluruh negara.

“Kami berharap akan ada lebih lagi. Setiap kilang yang dibangunkan bermakna akan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Satu daripada masalah yang kami hadapi ialah pengangguran dan untuk itu kita memerlukan lebih banyak pelaburan dari luar negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Malaysia yang baharu adalah kerajaan yang mesra perniagaan, mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dan mahu mengurangkan prosedur birokrasi yang tidak perlu.

“Untuk itu, kami memerlukan kerjasama anda. Beritahu kami, kaedah pelaburan anda di Malaysia dan kerajaan akan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

“Kami masih ekonomi terbuka dan selain FDI, kami akan belajar cara menghasilkan sesuatu secara sendiri. Untuk itu kami memerlukan teknologi Jepun yang sangat maju,” katanya.

scroll to top