Wednesday , 17 July 2019

Home » Bisnes » PNB optimumkan pengurusan kecairan bagi kestabilan pasaran kewangan

PNB optimumkan pengurusan kecairan bagi kestabilan pasaran kewangan

June 25, 2019 10:25 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
PNB optimumkan pengurusan kecairan bagi kestabilan pasaran kewangan

KUALA LUMPUR,. Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan berusaha mengoptimumkan pengurusan kecairan serta terus mempelbagaikan kelas aset bagi melindunginya selain menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan domestik, kata Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dr Zeti Aziz.

Menurut beliau, ini juga sejajar dengan kedudukan PNB yang sememangnya berperanan penting dalam pasaran kewangan negara.

“Memandangkan PNB mempunyai aliran masuk dana yang disalurkan oleh kalangan pemegang unit, ini boleh digunakan bagi melabur dalam dana baharu dan seterusnya mempelbagaikana aset ke arah pengurusan mudah tunai yang lebih baik,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat media mengenai prestasi PNB dalam separuh pertama tahun ini, di sini, hari ini.

Zeti yang juga bekas gabenor Bank Negara Malaysia, turut menyifatkan saiz pasaran kewangan tempatan sebagai signifikan dan Malaysia juga mempunyai kadar tukaran asing fleksibel yang dapat diselaras dengan keadaan ekonomi.

Berikutan itu, ia telah mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya tahan dengan sektor swasta memaparkan aktiviti lebih mantap selain meningkatkan aliran modal.

“Dunia mengiktiraf Asia dan Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan bagi ekonomi global dan (susulan itu) akan menyaksikan aliran masuk dana semula,” jelas beliau.

Malah, kata Zeti, PNB juga telah mula menyaksikan banyak perkembangan yang dapat merangsang lagi aktiviti ekonomi.

“Kita sedang menempuh satu fasa yang menyaksikan aliran keluar (dana). Inilah masanya apabila institusi seperti PNB masuk dan seterusnya menyumbang dalam usaha menstabilkan keadaan pasaran…dan ini telah berlaku lebih dua dekad lamanya.

“Inilah daya tahan pasaran kita,” katanya.

Ditanya sama ada beliau melihat sebarang peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran domestik, beliau berkata : “Menerusi pemantauan pasaran sejak lebih dua atau tiga dekad lamanya, saya tidak melihat sebarang ketidaktentuan yang ketara dari segi relatif.”

Terdahulu dalam taklimat itu, Zeti berkata sejajar dengan tumpuan bagi 2019, strategi pempelbagaian syarikat itu akan dikembangkan ke serata kelas aset miliknya bagi mengoptimumkan pulangan dan meminimumkan pendedahan risiko.

Hasil daripada pelaksanaan inisiatif itu menyaksikan peruntukan portfolio PNB ke dalam sekuriti pendapatan tetap dan aset global telah meningkat masing-masing kepada 7.4 peratus dan 4.9 peratus setakat akhir Mei 2019 berbanding 5.8 peratus dan 2.4 peratus pada 2017.

PNB juga dalam peringkat mewujudkan kerangka penyumberan luar yang komprehensif bagi melengkapi keupayaan pelaburan dalam kelas aset dan pasaran baharu.

Ini akan membolehkan dana tersebut meninjau strategi pelaburan baharu dan mengenal pasti instrumen pelaburan alternatif, termasuk membolehkan Rangka Kerja Pengurusan Risiko Perusahaan sedia ada PNB untuk terus berkembang bagi pengurusan risiko dalam landskap yang sentiasa berubah.

“Walaupun persekitaran pasaran itu jelas dipaparkan di peringkat agihan pendapatan, PNB akan terus mengemudi ketidaktentuan jangka pendek itu dengan memberi tumpuan penuh terhadap asas-asas jangka sederhana dan panjang.

“Dalam keadaan yang sukar dijangka itu, PNB juga akan terus membuat pelaburan secara konsisten dan tidak membenarkan ketidaktentuan jangka pendek itu menjejaskan potensi pulangan dalam jangka masa lebih panjang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata walaupun keadaan tidak menentu, PNB sebaliknya melihat perkembangan itu sebagai peluang pengewangan pelaburan apabila pasaran mencatat prestasi meningkat.

“Perkara teras adalah bagaimana kita dapat meningkatkan prestasi syarikat-syarikat di bawah kumpulan ini Bagi tahun ini misalnya, kita akan terjejas akibat penyusutan harga komoditi serta cabaran dalam pasaran hartanah.

“Namun, seiring perubahan masa dan keadaan pasaran domestik yang berdaya tahan akan menyaksikan institusi kewangan termasuk yang mempunyai pelaburan terbesar PNB iaitu Maybank, untuk mencatat kemajuan.

“Oleh itu, amat penting bagi kita untuk dapat bekerjasama dengan syarikat-syarikat strategik dan teras bagi memastikan mereka dapat mencatat prestasi dan seterusnya meningkatkan pertumbuhan pendapatan kita (kumpulan),” katanya.

— BERNAMA

scroll to top