Wednesday , 22 August 2018

Home » Dewan Rakyat » Polemik pelantikan Speaker Dewan Rakyat

Polemik pelantikan Speaker Dewan Rakyat

July 18, 2018 5:42 pm Category: Dewan Rakyat, Nasional A+ / A-
Polemik pelantikan Speaker Dewan Rakyat

BEBERAPA hari sebelum bermula Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-14, isu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dibangkitkan oleh kem pembangkang dan ia berterusan sehingga hari pertama persidangan, kelmarin.

Kemuncaknya, hampir semua Ahli Parlimen pembangkang dari Barisan Nasional (BN) dan PAS bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ke jawatan berkenaan.

Protes bermula sebaik Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah membacakan aturan mesyuarat mengenai pelantikan Speaker sebelum Datuk Takiyyudin Hassan (PAS-Kota Bharu) bangun dan mohon mencelah berdasarkan point of order, namun tidak dibenarkan.

Pembangkang mempersoalkan notis pencalonan Speaker yang didakwa tidak menepati Aturan Mesyuarat 4(1) iaitu Aturan Memilih Tuan Yang Dipertua, terutama berkaitan pemberitahuan kepada setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat diadakan.

Media melaporkan, Rosmee memaklumkan Parlimen menerima notis pencalonan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2 Julai, sekali gus mematuhi syarat mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan atau pada tarikh sebelum 14 hari Dewan Rakyat mula bersidang.

Isu seperti ini bukan yang pertama kerana pernah berlaku pada 20 Disember 1999 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu mencadangkan pelantikan Tun Mohamed Zahir Ismail sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pencalonan disokong Presiden MCA ketika itu, Tun Lim Liong Sik, namun dibantah Ahli Parlimen pembangkang termasuk yang kini dalam blok kerajaan seperti Mohammad Sabu, Mahfuz Omar, Teresa Kok dan Tan Kok Wai.

Ketika itu, wakil rakyat pembangkang juga bertindak keluar dewan sebelum masuk semula untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Speaker.

Bezanya, Mohamad dan beberapa lagi Ahli Parlimen pembangkang yang ketika itu membentuk pakatan dikenali sebagai Barisan Alternatif, dibenar mempertikaikan pelantikan berkenaan sebelum dijawab sendiri oleh Speaker sebaik Setiausaha Dewan Rakyat selesai membacakan aturan.

Dalam situasi kelmarin, pembangkang mendakwa tidak langsung dibenarkan mencelah atau diberi laluan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, menyebabkan majoriti Ahli Parlimen di blok berkenaan keluar dewan sebagai tanda protes.

Sah atau tidak

Isu itu dijangka terus menghangatkan sesi perbahasan titah diraja, namun persoalan utama yang perlu diberi perhatian dalam polemik ini adalah sama ada pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kelmarin, sah atau tidak.

Pembangkang perlu membuktikan kepada Parlimen termasuk dalam sesi perbahasan bermula hari ini, wujud ketidakaturan dalam pemberitahuan notis pencalonan Yang Dipertua Dewan, iaitu tidak menepati 14 hari sebelum sidang bermula seperti ditetapkan Aturan Mesyuarat 4(1).

Bagi pensyarah undang-undang yang juga pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, pelantikan Mohamad Ariff tetap sah biarpun wujud pertikaian mengenai notis pencalonan.

Beliau merujuk Aturan Mesyuarat 99A yang menyatakan ‘jika semasa membuat apa-apa jua keputusan telah terjadi kegagalan di pihak majlis atau mana-mana jawatankuasanya untuk mematuhi mana-mana peruntukan peraturan-peraturan mesyuarat dalam perjalanan mesyuarat yang membawa kepada keputusan itu, kegagalan sedemikian hendaklah dikira sebagai suatu perkara luar aturan dan tidak boleh membatalkan perjalanan mesyuarat atau keputusan berakibat daripadanya’.

Antara hujah Shamrahayu ialah kedudukan Mohamad Ariff sebagai Speaker tidak berbangkit sama sekali kerana ia dibuat berdasarkan tatacara dan kesesuaian Parlimen.

Permasalahan yang timbul, katanya, isu dibangkitkan pembangkang adalah berkait dengan notis pencalonan, sekali gus boleh dirujuk semula kepada pentadbiran Parlimen atau Setiausaha Dewan Rakyat bagi mengesahkan sama ada wujud ketidakpatuhan dalam aspek terbabit.

Beliau turut mengesyorkan agar sebarang pertikaian seeloknya diselesaikan pada peringkat Parlimen terlebih dahulu termasuk menyerahkan sebarang bukti jika ada tanpa perlu pun dirujuk ke mahkamah.

“Saya rasa mahkamah pun tidak begitu tertarik jika kes seperti ini dirujuk kepada mereka,” katanya sambil menambah, dalam amalan demokrasi di Malaysia, pihak legislatif mempunyai bidang kuasanya sendiri dalam menentukan perjalanan majlis.

Pelantikan tetap sah

Pendapatnya dipersetujui pengamal undang-undang, Syahredzuan Johan yang berpandangan, sekiranya notis pencalonan tidak ditepati sekali pun, pelantikan Speaker tetap sah berdasarkan prinsip Parlimen berhak menentukan atur caranya sendiri seperti ditetapkan Aturan Mesyuarat 99A.

“Pada pandangan saya, kegagalan memberi notis 14 hari untuk mencalonkan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak akan menjadikan apa-apa lantikan sebagai tidak sah, jika dewan sendiri mengesahkannya,” katanya.

Selesai secara baik

Penulis berpendapat, polemik pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dilihat bukan isu sukar untuk diselesaikan, baik oleh pentadbiran Parlimen mahupun oleh Mohamad Ariff sendiri, bekas hakim Mahkamah Rayuan yang berpengalaman luas dalam aspek perundangan dan Perlembagaan.

Beliau yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London (London School of Economics), memulakan karier pada 1974 sebagai pensyarah undang-undang sebelum diiktiraf sebagai profesor madya di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.

Pastinya rakyat juga tidak berminat dengan politik berpanjangan yang tidak berkesudahan baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

Sewajarnya sesi persidangan di institusi paling tinggi sebagai tempat membentang, membahas dan meluluskan undang-undang itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi perhatian kepada isu membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Cuma yang perlu dijelaskan kepada rakyat adalah komitmen kerajaan untuk menamakan calon Speaker dari kalangan ahli dewan seperti dijanjikan dalam manifestonya.

Jawapan Dr Mahathir bahawa manifesto sekadar panduan mungkin boleh meredakan isu ini seketika, namun untuk tempoh masa tertentu, kerajaan akan dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam melunaskan apa yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

scroll to top