Friday , 21 June 2019

Home » Dunia » Prabowo mahu penyokongnya tidak terbabit rusuhan, Jokowi bertegas tidak berkompromi

Prabowo mahu penyokongnya tidak terbabit rusuhan, Jokowi bertegas tidak berkompromi

May 23, 2019 6:17 am Category: Dunia, Politik A+ / A-
Prabowo mahu penyokongnya tidak terbabit rusuhan, Jokowi bertegas tidak berkompromi

JAKARTA,. Ramai pemerhati dan penganalisis politik Indonesia berpandangan Prabowo Subianto menjadi punca rusuhan di sini walaupun calon Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019) yang kalah itu dilaporkan meminta para penyokongnya tidak terbabit dalam rusuhan ketika mengadakan demonstrasi membantah keputusan Pilihan Raya Presiden 2019.

Mereka melihat kejadian rusuhan berlaku sebagai rentetan pidato dan tindakan beliau selepas berakhirnya pengundian Pilpres 2019 April lepas.

Prabowo pada 17 April lepas, selepas selesai proses pengundian, menolak keputusan quick count atau hitung cepat badan-badan bebas, yang memenangkan Presiden Joko Widodo (Jokowi), sedangkan hasil quick count itu, berdasarkan pilihan raya sebelum ini, ternyata 99.9 peratus tepat.

“Pada 15 Mei lepas, ketika proses pengiraan Pilpres masih berlangsung, Prabowo memboikot proses pengiraan undi KPU, yang didakwanya berlaku unsur penipuan.

“Beliau dan pemimpin yang pro kepadanya turut meminta rakyat mengadakan demonstrasi, membantah keputusan itu, dan apa yang berlaku (rusuhan) sejak awal pagi tadi, adalah hasilnya,” kata seorang penganalisis politik.

Jokowi dalam kenyataannya di instagram rasminya, minta rakyat Indonesia kembali bersatu, dan menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan perusuh yang mencabar kedaulatan undang- undang.

Polis Indonesia pula dalam satu kenyataan malam ini, menyatakan seramai 257 perusuh telah ditahan di sini sejak awal pagi tadi.

Pemerhati politik juga meminta Prabowo turun mendekati para penunjuk perasaan, supaya mereka tidak merusuh, dan memainkan peranan penting bagi mengembalikan ketenteraman awam dan kestabilan politik di Indonesia.

Polis Indonesia percaya terdapat hanya kumpulan-kumpulan tertentu yang bukannya para demonstrasi massa, yang merusuh bagi mencetuskan suasana tidak tenteram selepas pasca keputusan Pilpres itu.

Rusuhan kembali berlaku di kawasan bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jakarta Pusat kira-kira pukul 8.30 malam ini, selepas beribu demonstrasi massa yang berkumpul secara aman sejak pagi tadi, bersurai.

Sekumpulan lebih 200 perusuh itu dipercayai datang dari arah kawasan Tanah Abang, melemparkan batu, molotov coctail dan mercun ke arah pasukan keselamatan yang berkawal di kawasan berkenaan.

Pasukan keselamatan ketika ini masih mengawal keadaan dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan itu.

— BERNAMA

scroll to top