Saturday , 15 December 2018

Home » Nasional » PRK Rantau: Pemilihan Tok Mat realistik

PRK Rantau: Pemilihan Tok Mat realistik

November 19, 2018 2:44 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
PRK Rantau: Pemilihan Tok Mat realistik

Datuk Seri Mohamad Hasan

SHAH ALAM,. Tindakan Umno mencalonkan semula Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi PRK Dun Rantau dilihat sebagai strategi yang realistik.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini kerana bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mempunyai penyokongnya tersendiri memandangkan beliau merupakan wakil rakyat kawasan itu dalam tempoh yang lama.

Walaupun begitu, katanya, Umno perlu juga mengambil kira suara akar umbi seperti mana proses pemilihan calon dalam pilihan raya sebelum ini.

“Mohamad amat disegani dan mendapat sokongan pengundi dan juga ahli Umno. Percaturan dari segi kriteria oleh Umno selepas kalah dalam PRU14 lalu amat menepati.

“Beliau juga satu nama berbeza daripada tokoh lain dalam Umno di mana beliau bersih dan dekat dengan masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui catatan di akaun Twitter beliau menyatakan Mohamad akan dicalonkan semula bagi PRK Dun Rantau susulan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban bahawa kemenangan Mohamad di kerusi itu pada PRU14 lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Mengulas tentang potensi kemenangan Mohamad, Ahmad Martadha berkata, ia bergantung kepada sokongan pengundi terutama kaum Melayu kerana trend PRU14 lalu dan tiga PRK melibatkan Sungai Kandis, Balakong dan Port Dickson menunjukkan sokongan Melayu berpihak kerajaan PH.

“Jadi untuk beliau menang, di samping melipat gandakan usaha, beliau juga perlu tarik pengundi Melayu untuk kembali sokong Umno-BN.

“Selain itu, ia juga bergantung kepada calon PH. Kalau calon PH itu benar-benar berpengaruh terutama yang boleh tawan pengundi, ia boleh memihak kepada kerajaan hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Martadha berkata, PRK Dun Rantau diramalkan menyaksikan pertandingan sengit terutama jika isu-isu berbangkit seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dimainkan.

“Jika kerajaan tidak ambil penyelesaian dalam masa terdekat, ia akan jadi satu persaingan dalam pertandingan ini,” katanya.

scroll to top