Thursday , 15 November 2018

Home » Nasional » PRK seri setia Logo baru, satu lawan satu dan kerjasama Pas-UMNO

PRK seri setia Logo baru, satu lawan satu dan kerjasama Pas-UMNO

August 19, 2018 8:05 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
PRK seri setia Logo baru, satu lawan satu dan kerjasama Pas-UMNO

KUALA LUMPUR,. Selesai sudah pencalonan bagi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN di Selangor – Balakong dan Seri Setia pada Sabtu yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) menentang MCA di Balakong dan PH menentang PAS di kerusi Seri Setia.

Calon PH Wong Siew Ki dan calon MCA Tan Chee Teong akan merebut kerusi DUN Balakong berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.

Manakala di Seri Setia ia melibatkan calon HARAPAN, bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Halimey Abu Bakar, 46; dan calon Pas, yang juga bekas anggota Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, 58.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas

Sama seperti DUN Sungai Kandis sebelum ini, keputusan kedua-dua PRK itu tidak akan mengubah kerajaan yang memerintah di negeri paling maju itu kerana majoriti besar yang dimiliki PH – menang 51 daripada 56 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Keputusan PRK pertama bagi kerusi Sungai Kandis itu menyaksikan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi, menumpaskan saingan dari Barisan Nasional Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy yang hilang wang pertaruhan.

Mohd Zawawi ketika itu menggunakan logo PKR untuk berkempen, manakala Lokman, dari UMNO masih menggunakan logo BN, gabungan yang kini hanya tinggal tiga parti komponen – UMNO, MCA dan MIC, berbanding 13 parti komponen sebelum PRU14.

Apa yang menarik perhatian pada PRK kali ini ialah buat kali pertama PH menggunakan logonya, yang terdiri daripada empat parti gabungan iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keempat-empat parti gabungan itu sebelum ini menggunakan logo PKR pada PRU14, kerana berhadapan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Senario selepas PRU14 juga mencetus perkembangan terbaru daripada MCA, yang buat pertama kali pada PRK kali ini menggunakan logo parti sendiri berbanding `dacing’ BN yang pernah dipersetujui gabungan parti antara UMNO, MCA dan MIC pada era Perikatan, dan BN pada 1974.

Alasan bagi MCA yang gagal memenangi satu kerusi pun pada PRU14 lepas disifatkan mahu berubah dan menguatkan parti, walaupun sedar akan cabaran menggunung untuk menang di Balakong tanpa pertolongan UMNO yang menyatakan tidak akan membantu jentera kempen MCA di kawasan majoriti kaum Cina itu.

Ini dizahirkan apabila tidak kelihatan langsung pemimpin kanan dari UMNO atau MIC yang hadir mengiringi calon MCA pada penamaan calon di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi, dekat sini.

Persoalannya adakah perubahan logo-logo membawa tuah kepada parti-parti yang bertanding?.

Namun bagi kerusi DUN Seri Setia, pemimpin-pemimpin UMNO kelihatan hadir memberikan sokongan moral kepada PAS di Dewan Sivik Petaling Jaya, tempat berlangsungnya proses penamaan calon bagi DUN Seri Setia, menepati janji untuk memberikan laluan kepada PAS selepas parti Islam itu tidak bertanding di Sungai Kandis.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Lokman Noor Adam yang juga bekas calon PRK Sungai Kandis, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Wanita UMNO Datuk Noraini Ahmad hadir mengiringi Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dan tindakan ini direstui oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sendiri.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menyuntik beberapa perubahan pada proses pengundian kali ini seperti tempoh berkempen selama 21 hari; tambahan saluran mengundi untuk warga emas; tambahan saluran keseluruhan dari 100 kepada 129 saluran mengundi di Balakong; dan tambahan 24 saluran di Seri Setia, selain tempoh masa mengundi dilanjutkan hingga pukul 5.30 petang.

Dari sudut keselamatan dan ketenteraman awam walaupun proses penamaan calon yang dijalankan pada pukul 9 hingga 10 pagi semalam berjalan lancar, polis tetap mengingatkan penyokong parti agar tidak membuat provokasi sesama mereka dan memohon permit berceramah dengan lebih awal demi mengelakkan masalah pada saat akhir.

Sebanyak 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong, mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang telah dikemaskini sehingga 2 Julai lalu.

Manakala untuk PRK Seri Setia terdapat 53,492 pemilih berdaftar sehingga suku pertama Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Ogos 2018.

Pengundian akan diadakan pada 8 Sept depan.

— BERNAMA

scroll to top