Sunday , 16 December 2018

Home » Bisnes » Program Cabaran BizSmart bina daya maju PKS

Program Cabaran BizSmart bina daya maju PKS

April 13, 2018 3:15 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Program Cabaran BizSmart bina daya maju PKS

Pengerusi Kumpulan Eco World Development, Tan Sri Liew Kee Sin (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich (dua kanan) bergambar bersama Pengarah Urusan dan Pengasas BFM89.9, Malek Ali (kiri) , Country Manager of Visa Malaysia, Ng Kong Boon (dua kiri) , Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manulife Holding Berhad, Mark O'Dell (tiga kiri) , Ketua Pegawai Eksekutif Astro Awani, Suhaimi Sulaiman (tiga kanan) selepas Majlis Pelancaran BizSmart Challenge 2018. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR,. Alliance Bank Bhd (Alliance Bank) dan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) kembali meneruskan usaha memperkasakan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Cabaran BizSmart Challenge 2018.

Bagi tahun ini, program itu akan dibuat dalam bentuk rancangan realiti televisyen, pertama seumpamanya pernah dianjurkan oleh sesebuah institusi kewangan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich, berkata penyertaan dibuka kepada semua PKS di negara yang beroperasi dalam tempoh 18 bulan hingga lima tahun bermula semalam hingga 20 Mei ini.

“Daripada penyertaan yang dihantar, seramai 20 peserta akan disenarai pendek untuk menjalani latihan perniagaan berstruktur termasuk pemasaran, kemahiran persembahan dan latihan bakat pengurusan, sesi bimbingan dan peluang rangkaian.

“Seramai 12 finalis akan dipilih untuk bersaing di Business Challenge yang akan menjadi sesi kemuncak dalam rancangan realiti televisyen berkenaan,” katanya pada majlis pelancaran BizSmart Challenge 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu adalah Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin.

Kornreich dan Kee Sin akan menjadi hakim jemputan program bersama Pengasas BFM89.9, Malek Ali serta seorang lagi hakim yang akan dijemput setiap minggu.

Mentor program pula ialah Pengasas Christy Ng Shoes, Christy Ng; Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holdings, Bryan Loo dan Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Naluri Hidup Sdn Bhd, Azran Osman-Rani

Akhbar BH adalah salah satu rakan program Cabaran BizSmart.

Mengulas lanjut, Kornreich program itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM 1 juta dan liputan media, selain pembiayaan berjumlah sehingga RM5 juta kepada semua finalis.

“Kami sentiasa komited untuk membantu sektor PKS Malaysia untuk terus membangun hingga mencapai ke potensi penuh mereka.

“Sejak diperkenalkan pada 2013, kami terus berinovasi dan menambah baik program ini. Tahun ini kami mengalu-alukan Eco World sebagai penganjur bersama,” katanya.

Program Cabaran BizSmart Challenge 2018 akan merangkumi tujuh episod dan akan disiarkan selama satu jam bagi setiap episod di Astro Awani dan AXN bermula Ogos ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Cabaran BizSmart 2018, orang ramai boleh melayari pautan www.alliancebank.com.my/BizSmart.

BH

scroll to top