Monday , 16 July 2018

Home » Nasional » Program JBD bantu rakyat

Program JBD bantu rakyat

April 17, 2018 4:47 pm Category: Nasional A+ / A-
Program JBD bantu rakyat

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Penghargaan kepada Bekas Anggota Lembaga Pengarah FAMA Datuk Abdul Shukur Idrus (tiga, kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Jasamu Dikenang Tahun 2018 hari ini. Turut sama Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA Datuk Dr Sani Mat Hassan (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan FAMA Mansor Omar (dua, kanan). - Foto BERNAMA

CYBERJAYA,. Program Jimat Belanja Dapur (JBD) mencatatkan jualan berjumlah RM30.57 juta dengan memberi manfaat penjimatan kepada rakyat sebanyak RM4 juta dari Januari hingga Mac lalu.

Daripada jumlah itu, Wilayah Persekutuan mencatatkan nilai jualan JBD tertinggi iaitu RM7.04 juta diikuti Selangor (RM6.05 juta), Kedah (RM2.51 juta) dan Kelantan (RM2.27 juta).

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, berkata JBD yang dilaksanakan di seluruh negara membuktikan kerajaan mengambil maklum mengenai keresahan rakyat yang berdepan dengan masalah kos sara hidup.

“Usaha yang diilhamkan kerajaan ini terbukti berkesan membantu rakyat. Program ini memudahkan rakyat untuk merancang perbelanjaan mereka dengan lebih berhemah.

“Bagi individu yang berbelanja dalam program JBD, jika dia membeli 27 barangan yang disenaraikan iaitu mempunyai potongan harga antara lima hingga 20 peratus, pembeli dapat jimat RM20. Itu adalah kadar minimum.

“Kami akan terus menghulurkan bantuan kepada rakyat, tidak kira di bandar mahupun luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di sini, hari ini.

JBD dilaksanakan di seluruh program di bawah FAMA termasuk Pasar Tani, My Farm Outlet, Agrobazaar Rakyat 1Malaysia, Agrobazaar Kedai Rakyat dan Program Sentuhan Rakyat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, pihaknya kini berdepan cabaran bagi menyediakan keupayaan perkhidmatan kepada usahawan dalam sektor pertanian.

“Zaman ini usahawan memerlukan banyak ilmu serta kepakaran yang tinggi kerana tuntutan pasaran kini memerlukan mereka untuk memasarkan produk jualan melepasi pasaran luar negara.

“Banyak aspek di dalam FAMA perlu ditingkatkan dan untuk itu, kami akan mengatur beberapa program yang dapat meningkatkan keupayaan pegawai supaya didedahkan dengan pengetahuan semasa dan teknologi berkaitan cara baharu pemasaran,” katanya.

scroll to top