Friday , 21 June 2019

Home » Nasional » Program Pemukiman Untuk Perkukuhkan Jentera MIC Hadapi PRU14

Program Pemukiman Untuk Perkukuhkan Jentera MIC Hadapi PRU14

December 17, 2017 7:00 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Program Pemukiman Untuk Perkukuhkan Jentera MIC Hadapi PRU14

Datuk Seri S.K. Devamany

SERDANG,. MIC akan mengadakan lebih banyak program pemukiman untuk memperkukuh jentera pilihan raya dan meningkatkan kapasiti parti itu sebagai persediaan rapi berdepan ‘Bapa Segala Pilihan Raya.

Bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Presidennya , Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata parti kaum India itu telah mengadakan program pemukiman MIC yang pertama di Universiti AIMST, Sungai Petani pada bulan Mei lalu dan hari ini di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

“Kami akan mengadakan lebih banyak pemukiman bagi meningkatkan keupayaan pasukan kami. Kami akan terus mengadakan lebih banyak pemukiman,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri Pemukiman MIC Kebangsaan ?Persiapan Jentera Parti Ke Arah PRU14 di MAEPS di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden dan Juga Pengerusi Jawatankuasa Strategi PRU MIC Datuk Seri S.K. Devamany dan Setiausaha Agung MIC Datuk A. Sakthivel.

Subramaniam berkata MIC menyasar untuk memenangi sekurang-kurangnya enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri yang ditandingi pada PRU14.

“MIC mahu mengekalkan (kemenangan) di kerusi yang dimenang pada PRU13,” katanya.

Pada PRU 13, MIC menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen dan lima daripada 18 kerusi DUN yang ditandingi.

Berhubung program pemukiman hari ini, Subramaniam berkata kira-kira 1,000 anggota MIC dari seluruh negara hadir untuk memperkasa jentera parti menjelang PRU14.

“Kita telah mengadakan perbincangan cara untuk mengurus dan menggerakkan jentera di kawasan masing-masing dengan lebih berkesan dan berstruktur bagi meraih sokongan pengundi India.

“Kami juga mahu memperkasakan program Jalinan Rakyat dan Jalinan Rakyat Plus untuk mendekati pengundi sebagai kesiapsagaan bagi menghadapi PRU14,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top