Tuesday , 23 July 2019

Home » Bisnes » Projek lebarkan lebuh raya antara cadangan untuk RMK12

Projek lebarkan lebuh raya antara cadangan untuk RMK12

July 12, 2019 8:44 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Projek lebarkan lebuh raya antara cadangan untuk RMK12

Mohd Solihan Badri

ISKANDAR PUTERI,. Melebarkan dua lebuh raya dan menaik taraf beberapa jalan utama di negeri ini, antara projek cadangan kerajaan negeri untuk dipertimbangkan dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata cadangan itu yang merupakan antara projek di bawah portfolionya, dikemukakan secara dasar dan akan diperhalusi lagi.

Antara projek mega yang dicadangkan ialah pembesaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Tangkak hingga Skudai sepanjang 200 kilometer, yang diharapkan dapat membantu kelancaran kenderaan di laluan tersebut.

“Kita di peringkat negeri akan mengemukakan (cadangan projek untuk RMK12). Ini hanya secara dasar, dan kita akan memperhalusinya lagi.

“Di bawah portfolio saya, kami telah mengemukakan beberapa cadangan yang agak besar untuk infrastruktur dan perhubungan termasuk penambahbaikan kepada beberapa jalan raya,” katanya kepada pemberita di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai projek-projek yang dikemukakan kerajaan negeri selepas sesi libat urus kerajaan negeri bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang bermula kira-kira 9.30 pagi tadi.

Sesi libat urus selama lebih tiga jam itu dipengerusikan secara bersama Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jalan raya yang dicadangkan untuk dinaik taraf ialah jalan Mersing-Desaru, jalan Kota Tinggi-Desaru dan melebarkan Lebuhraya Senai-Desaru.

Menyentuh mengenai kos pembesaran Lebuhraya PLUS, beliau berkata perkara itu masih dalam perincian.

Mohd Solihan berkata beberapa projek di bawah portfolio pertanian, pelaburan dan kesihatan turut dicadangkan untuk dimasukkan dalam RMK12.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci mengenai projek tersebut.

— BERNAMA

scroll to top