Monday , 10 December 2018

Home » Dewan Rakyat » Projek perumahan tertangguh kesan krisis bekalan air

Projek perumahan tertangguh kesan krisis bekalan air

March 22, 2018 11:53 am Category: Dewan Rakyat, Nasional A+ / A-
Projek perumahan tertangguh kesan krisis bekalan air

Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 761 kelulusan projek pembangunan baharu di Selangor tertangguh setakat 31 Januari lalu, susulan krisis bekalan air di negeri itu yang semakin meruncing.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata penangguhan itu berlaku kerana Selangor tidak mampu menyediakan keperluan 467 juta liter air sehari bagi semua projek terbabit.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 40 peratus atau 305 projek adalah membabitkan projek pembangunan perumahan pangsapuri dan teres.

“Kementerian menerima rungutan dan rasa tidak puas hati daripada pemaju kerana perlu memohon lanjutan masa (EOT) bagi memajukan pembangunan projek yang dirancang disebabkan tiada bekalan air.

“Mengikut Akta 118, pemaju dibenarkan untuk mengemukakan permohonan EOT bagi pelaksanaan sesuatu projek perumahan bagi mengelakkan dari dikenakan denda lewat serahan milikan kosong.

“Faktor permohonan EOT adalah kelewatan kelulusan bekalan air oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (SYABAS) walaupun kebenaran merancang sudah diluluskan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) yang bertanya mengenai rungutan pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek kerana krisis air di Selangor.

Dalam jawapannya, Noh turut membidas Ahli Parlimen Gombak yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana berkeras menafikan krisis air di negeri itu.

“Menteri Besar Selangor tak mahu terima kenyataan, malah tak tahu bezakan antara air empangan dengan air terawat.

“Saya nak tanya Menteri Besar Selangor, dia gunakan air empangan atau air terawat. Kalau dia guna air empangan, saya akan arahkan bomba angkat air empangan ke rumahnya,” katanya sinis.

Menjawab soalan tambahan Budiman sama ada krisis air itu memberi kesan ekonomi pada negeri Selangor, Noh berkata ia turut menjejaskan pembangunan perbandaran, projek komersial, perindustrian dan pembangunan bercampur.

“Ia juga memberi kesan pada pelaburan dalam Selangor. Dulu, Selangor negeri yang maju dan berada nombor satu bagi aspek pelaburan, tetapi sekarang jatuh nombor empat.

“Walaupun Sarawak ada 20 projek yang diluluskan berbanding 202 di Selangor, tapi nilai pelaburan bagi Sarawak adalah RM10.5 bilion, manakala Selangor hanya RM5.5 bilion.

“Ini bermakna pelabur takut nak datang ke Selangor kerana masalah bekalan air. Ini akan beri kesan pada peluang pekerjaan dan menyebabkan pengangguran,” katanya.

scroll to top