Wednesday , 19 September 2018

Home » Bisnes » Proton Iriz tetap memikat

Proton Iriz tetap memikat

July 6, 2018 10:54 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Proton Iriz tetap memikat

Muhd Shukri (tengah) bersama dua rakan yang turut memiliki Proton Iriz.

MEMILIKI sebuah Proton Iriz 1.3 Executive Manual adalah sesuatu yang amat dibanggakan oleh pelajar tahun akhir dalam bidang kejuruteraan automotif, Muhd Shukri Hashim.

Beliau yang sedang menjalani latihan amali di sebuah bengkel di Nilai, Negeri Sembilan adalah seorang peminat tegar kereta Proton sejak dahulu lagi.

“Tidak dapat disangkal lagi, kereta ini sememangnya mempunyai pengendalian yang hebat. Sangat lancar dipandu, terutama ketika di lebuh raya dan mempunyai sistem kawalan dan kendalian yang baik ketika mengambil selekoh, justeru berasakan bahawa kereta ini sama taraf kalau tidak lebih baik berbanding jenama lain di pasaran,” kata Muhd Shukri.

“Selain pengendaliannya, kereta ini juga lengkap dengan ciri keselamatan, yang mana saya berpendapat bahawa tidak ramai rakyat di Malaysia yang tahu mengenai perkara ini. Tetapi, ia adalah ciri yang sangat penting untuk diketahui terutama kepada mereka mengimpikan sebuah kereta dengan harga yang mampu milik dan tidak pernah meletakkan Iriz sebagai pilihan sebelum ini,” tambah Muhd Shukri.

Bagi sesetengah pengguna, sebuah kereta adalah sekadar kenderaan yang membawa mereka ke mana sahaja, tetapi bagi Muhd Shukri, sebuah kereta adalah lebih daripada itu.

Perlu karakter, ‘jiwa’

Shukri beranggapan, sesebuah kereta perlu mempunyai karakter tersendiri dan pemandunya pula mestilah memiliki pertalian ‘jiwa” dengan kereta mereka.

Katanya, kereta yang dipandu itu melambangkan jiwanya yang sebenar dan perlu ada faktor ‘feel’ untuk pemandu merasai seperti ada perhubungan yang jitu.

“Saya berasakan model Iriz ini seakan ada keserasian semasa saya ingin membeli kereta. Apabila saya lihat model Iriz, saya terus ada perasaan ingin memilikinya. Saya mengidamkan sebuah kereta yang mampu memahami gaya pemanduan saya, dan berasa yakin ketika memandunya.

“Iriz mempunyai pelbagai ciri moden dengan reka bentuk yang luar biasa seperti pengecas USB di bahagian belakang, yang membuatkan saya terus tertarik apabila saya melihatnya,” katanya.

Minat beliau terhadap Iriz yang dimilikinya itu membuatkan Muhd Shukri menyertai Kelab Proton Iriz Malaysia (PICM) pada Oktober 2016.

Sebagai penggemar kereta dan berjiwa muda, Muhd Shukri turut berkongsi pendapatnya mengenai ciri keistimewaan sebuah kereta yang mempunyai pelbagai fungsi.

Beliau memandang kepada empat kriteria utama, iaitu kereta ini mestilah menggunakan transmisi manual, mempunyai pengendalian yang hebat, sistem keselamatan yang baik, dan akhir sekali, walaupun bunyinya kelakar tetapi apa yang penting ialah, tempat untuk mengisi minyak perlulah berada di sebelah kanan kereta.

“Antara kereta lain dalam segmen yang sama, hanya Iriz yang memenuhi semua keperluan ini dan direka khusus untuk jiwa yang mementingkan perincian dalam sesebuah kereta.

“Jadi, saya amat gembira apabila ditemukan dengan kereta ini dan buat masa sekarang ini, saya bangga untuk mengatakan bahawa, Iriz adalah yang terbaik buat saya,” katanya.

Penarafan ASEAN NCAP

Muhd Shukri berkata, walaupun keretanya bertransmisi manual 1.3, namun harganya amat berpatutan dengan penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP.

“Sebagai ahli Kelab Iriz, saya dimaklumkan bahawa PROTON menggunakan teknologi berkualiti tinggi untuk menghasilkan kereta ini. Rakan saya, sebelum ini terbabit dalam kemalangan yang teruk tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan, kerana dia memandu Iriz dan menggunakan sepenuhnya ciri keselamatan yang ada pada kenderaan,” katanya.

Beliau menambah: “Saya gembira kerana memiliki Iriz sekarang ini, kerana sebelum ini sebenarnya saya pernah berfikir untuk memiliki kereta pesaing yang lain, tetapi kerana inginkan kelainan, saya rasa saya perlu cuba memandu kereta keluaran tempatan dan melihat sejauh mana prestasinya.”

scroll to top