Tuesday , 24 April 2018

Home » Bisnes » PROTON jual 4,783 unit pada Januari

PROTON jual 4,783 unit pada Januari

February 9, 2018 12:17 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
PROTON jual 4,783 unit pada Januari

SUBANG JAYA,. PROTON Holdings Bhd (PROTON) mencatatkan jualan 4,783 unit kereta pada Januari lalu dengan jangkaan penguasaan pasaran sekitar 10.9 peratus.

Penguasaan pasaran bulan lalu adalah lebih tinggi berbanding 8.8 peratus yang dicatatkan Disember, meskipun syarikat pengeluar kereta nasional itu mencatatkan jualan lebih rendah daripada 4,802 unit yang direkodkan pada Disember 2017.

PROTON dalam satu kenyataan berkata, Proton Saga, Persona dan Exora adalah model paling popular, merangkumi 80 peratus daripada jumlah jualan kereta Proton untuk Januari 2018.

“Sebagai kereta dengan harga yang paling berpatutan dan memberikan nilai hebat bagi segmennya, Saga tetap menjadi pilihan paling popular di kalangan pelanggan Proton, membabitkan sebanyak 41 peratus daripada keseluruhan jualan kereta Proton.

“Sememangnya, Saga memperkayakan kehidupan lebih daripada 1.7 juta keluarga Malaysia sejak pengeluaran pertamanya. Ia menerima banyak pengiktirafan seperti anugerah ‘Value for Money Car’ pada 2016 dan ‘Compact

Sedan of the Year’ pada 2017,” kata Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran PROTON, Abdul Rashid Musa.

“Proton Saga yang terkini adalah model dari generasi ketiga yang banyak melalui peningkatan, pembaharuan dan penambahbaikan. Ia mempunyai kabin yang lebih senyap kerana tahap bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) yang diperbaiki.

“Dengan reka bentuk yang lebih bergaya, lebih praktikal, tahan lasak dan memberikan pelanggan nilai yang lebih berbaloi untuk ciri keselamatan yang mantap, serta keselesaan di dalam kereta. Dari harga serendah RM35,590.29 atau hanya RM390 sebulan (tanpa insurans), ia mampu dimiliki kebanyakan rakyat Malaysia,” tambah Abdul Rashid.

Sementara itu, bersempena Sambutan Tahun Baru Cina, PROTON menawarkan ganjaran kepada pelanggannya dengan diskaun untuk semua model Proton, sehingga RM500 bagi Exora, sehingga RM1,000 (Saga), sehingga RM1,000 (Persona), sehingga RM5,000 (Iriz) dan sehingga RM13,888 (Perdana).

Pelanggan juga boleh mengunjungi mana-mana pusat servis PROTON yang diiktiraf untuk pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma sebelum memulakan perjalanan jauh.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi PROTON Customer Care di 1800 888 398 atau layari www.proton.com atau halaman Facebook rasmi PROTON di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial.

scroll to top