Saturday , 15 December 2018

Home » Bisnes » PSCC 2018 bukti komitmen Malaysia dukung teknologi digital terkini

PSCC 2018 bukti komitmen Malaysia dukung teknologi digital terkini

November 5, 2018 9:58 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
PSCC 2018 bukti komitmen Malaysia dukung teknologi digital terkini

Dr Suhazimah Dzazali

PUTRAJAYA,. Persidangan Public Sector CIO CONVEX 2018 (PSCC 2018) yang dianjurkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bermula 13 hingga 14 November ini, bakal mengetengahkan kesungguhan Malaysia dalam mendukung teknologi digital terkini seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

PSCC 2018 adalah persidangan yang mengumpulkan semua Ketua Pegawai Maklumat (CIO) agensi kerajaan bersama-sama rakan strategik daripada industri digital, pakar tempatan serta antarabangsa bagi meneroka transformasi digital yang boleh dilaksanakan untuk memantapkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Tema yang dipilih pada tahun ini ialah Next-Gen Government: Embracing Innovation and Disruption di mana ia bakal membantu kerajaan menyediakan strategi untuk membincangkan keperluan dan cabaran Revolusi Industri 4.0, sekali gus akan membantu dalam meningkatkan cara rakyat berinteraksi dengan kerajaan dan kualiti hidup masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah (ICT) MAMPU, Dr Suhazimah Dzazali, berkata perkhidmatan awam pada dasarnya mempunyai dua peranan utama dalam memartabatkan agenda pendigitalan dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan iaitu pertama sebagai fasilitator yang menggalakkan inovasi dan kedua, penjawat awam sebagai inovator dalam pelaksanaan transformasi penyampaian perkhidmatan.

Katanya, kerajaan dan perkhidmatan awam harus berani untuk berubah dan bersedia mencari pembaharuan yang lebih inovatif melalui penggunaan teknologi digital atau ICT bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan yang ditawarkan bertepatan dengan keperluan persekitaran semasa dan kehendak senario masyarakat pada masa hadapan.

“Oleh yang demikian, pembudayaan inovasi dalam perkhidmatan digital adalah sebahagian daripada agenda gerakan reformasi digital dalam sektor awam. Pembudayaan inovasi perkhidmatan digital yang menyeluruh mampu meningkatkan negara supaya lebih kompetitif dalam perdagangan dan perkhidmatan.

Dunia bersaing hebat

“Ini kerana keadaan dunia kini yang bersaing hebat tanpa sempadan menjadikan aspek kreativiti, inovasi dan daya saing yang tinggi sebagai faktor penentu untuk menentukan sama ada sektor awam di Malaysia kekal berdaya saing dan mampu menyediakan kemudahan berteraskan ICT kepada masyarakat,” katanya.

PSCC 2018 akan menampilkan seramai 13 penceramah dari luar negara yang dipilih secara khusus untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran berkaitan inovasi dalam dunia teknologi maklumat.

Kata Suhazimah, penganjuran PSCC 2018 ini akan memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat dan berinteraksi secara khusus dengan pakar-pakar berkenaan.

“Antara penceramah yang diundang adalah dari Kementerian Perhubungan Dalam Negeri dan Kerajaan Belanda, Frans Rijkers yang juga pakar teknologi blockchain selain Aleksi Grym dari Bank of Finland bakal yang mengupas bagaimana penggunaan ‘open source’ dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Persidangan ini juga akan mengetengahkan 14 penceramah tempatan yang pakar dalam bidang teknologi maklumat dan digital untuk berkongsi mengenai teknologi ICT yang boleh dimanfaatkan dan membantu perkhidmatan awam menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan digital yang baik dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Suhazimah berkata, penyampaian perkhidmatan yang dibangunkan secara digital tidak hanya terhad untuk memberi manfaat kepada masyarakat awam tetapi ia turut memberi faedah kepada sektor industri dan perdagangan dalam penjimatan pengurusan kos masa serta kaedah yang lebih sistematik dalam pengurusan perniagaan.

Katanya, walaupun kadang-kala sesuatu perkhidmatan digital yang diperkenalkan itu dilihat mengganggu atau menggugat penyampaian perkhidmatan sedia ada yang diberikan secara konvensional, bagaimanapun pengenalan dan pembangunan perkhidmatan secara digital ini dianggap sebagai satu gangguan yang positif.

“Ini kerana ia membantu masyarakat mencapai perkhidmatan dengan lebih cepat dan mudah selain memberi alternatif kepada perkhidmatan yang ditawarkan secara konvensional.

“Selain itu, persidangan itu juga akan mengetengahkan penggunaan sistem automasi digital yang boleh dimanfaatkan oleh perkhidmatan awam dalam memastikan proses kerja yang lebih berintegriti dan telus.

“Sehubungan itu, MAMPU juga akan melancarkan dua produk pada persidangan berkenaan iaitu OSDeC, Program Pembangunan dan Kapabiliti Sumber Terbuka Sektor Awam dan MyGDX iaitu platform perkongsian data oleh kerajaan yang menyediakan perkhidmatan pembrokeran data merentas agensi.

34 syarikat ICT pamer produk

“Sehubungan itu, 34 syarikat ICT mempamerkan produk mereka seperti penstoran data, rangkaian, cloud, penyelesaian ICT, keselamatan siber dan kad pengenalan digital. MAMPU juga akan mempamer dan memperkenalkan produk ICT MAMPU seperti OSDEC, MyGovUC, DRSA, PDSA, GOSG, MyGDX, MyGovEA dan GovSecured Cloud,” katanya.

Pameran itu juga akan membabitkan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Jabatan Perkhidmatan Awam, Malaysian Global Innovation & Creativity Centre, Yayasan Usahawan Baru dan Government Integrated Telecommunications Network.

Sempena persidangan itu juga, satu majlis pengiktirafan kepada industri iaitu Hackhaton Data Terbuka 2018 yang diadakan pada 18 hingga 24 Oktober yang lalu akan dilangsungkan bagi mengiktiraf kejayaan industri, ahli akademik, pelajar dan penjawat awam yang berjaya membangunkan aplikasi berdasarkan data terbuka yang disediakan oleh MAMPU.

Persidangan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Tabung Haji, KLIA itu bakal disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Maklumat berkaitan persidangan itu boleh dilayari di laman sesawang, http://cioconvex.mampu.gov.my.

scroll to top