Saturday , 23 June 2018

Home » Nasional » Pulai Tidak Mudah Jatuh Ke Tangan Pembangkang – Nur Jazlan

Pulai Tidak Mudah Jatuh Ke Tangan Pembangkang – Nur Jazlan

December 17, 2017 7:16 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pulai Tidak Mudah Jatuh Ke Tangan Pembangkang – Nur Jazlan

Datuk Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU,. Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan kajian sekumpulan pemikir Singapura, ISEAS-Yusof Ishak bahawa kerusi parlimen itu boleh terlepas ke tangan pembangkang sebagai kurang berasas.

Ini kerana kata Timbalan Menteri Dalam Negeri itu kajian berkenaan dibuat tanpa mengambil kira ciri-ciri kawasan tersebut.

“Pada (pilihan raya umum) 2013, Pulai dianggap boleh tumbang, tetapi tidak tumbang (sekalipun) dengan ‘tsunami Kit Siang’.

“Dulu Kit Siang bertanding di Parlimen Gelang Patah, tempiasnya ke Pulai tetapi untuk 2018 tidak tahu lagi Kit Siang bertanding di mana,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Bawah 10 dan 12 Tahun di Pusat Komuniti Parlimen Pulai, di sini.

Nur Jazlan diminta mengulas kajian ISEAS-Yusof Ishak yang meramalkan Barisan Nasional akan mengekalkan penguasaan di Johor pada pilihan raya umum akan datang namun beberapa kawasan parlimen di bandar seperti Pulai, Pasir Gudang dan Tebrau boleh jatuh ke tangan pembangkang.

Sementara itu, mengenai kejohanan bola sepak melibatkan 38 pasukan dari Johor, Melaka, Terengganu dan Selangor tersebut, Nur Jazlan berharap ia dapat melahirkan pemain pelapis bola sepak tanah air.

Katanya kejohanan seumpama itu juga dapat membentuk karakter murid menjadi individu berketerampilan, berani menghadapi kekalahan dan menjadi pemimpin berjaya.

— BERNAMA

scroll to top