Wednesday , 22 August 2018

Home » Nasional » Putrajaya sasar bawa pulang jet peribadi Jho Low – Perdana Menteri

Putrajaya sasar bawa pulang jet peribadi Jho Low – Perdana Menteri

August 13, 2018 10:38 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Putrajaya sasar bawa pulang jet peribadi Jho Low – Perdana Menteri

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad

SERDANG,. Kerajaan kini menyasarkan untuk membawa pulang jet peribadi milik ahli perniagaan Malaysia yang sedang melarikan diri, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang kini dilaporkan berada di Singapura, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari semalam.

Ketika ditanya tentang laporan bahawa Putrajaya akan membawa pulang jet itu semasa ditemui pemberita selepas melawat pameran lukisan bertajuk ‘Tun M: A Forever Legacy’ di Universiti Perdana di sini, Dr Mahathir berkata: “Ya, saya fikir begitu. Kami akan bawa ia pulang.”

Menurut laporan media, jet peribadi itu dirampas oleh pihak berkuasa Singapura pada 2017 dan ditempatkan di Lapangan Terbang Seletar.

Turut dilaporkan pesawat Bombardier Global 5000 yang dirampas itu adalah sebahagian daripada aset bernilai kira-kira US$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ditanya tentang perbincangan untuk membawa pulang jet peribadi itu ke Malaysia, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak tahu bahawa ada pihak lain melakukannya.”

Dr Mahathir menegaskan kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan semula semua wang yang telah dicuri daripada negara ini.

“Kami tahu siapa yang memilikinya tetapi sudah tentu kami tidak tahu di mana ia (wang) itu. Dan terdapat keperluan untuk kami mengakses wang itu bergantung kami dapat membuktikan wang itu milik kita (negara),” katanya.

Kapal layar mewah Equanimity, yang dilaporkan secara meluas dikaitkan dengan Jho Low, tiba di Malaysia pada 7 Ogos selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia. Kapal layar itu kini berlabuh di Pelabuhan Klang.

Ketika diminta mengulas kenyataan Jho Low menerusi jurucakapnya yang mendakwa Malaysia “mengarahkan” pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk menyatakan ketibaan kapal layar itu di Malaysia selepas rundingan dengan pihak Amerika Syarikat, Dr Mahathir secara sinis berkata: ” Saya rasa amat bangga bahawa saya dapat mengarahkan kerajaan Amerika Syarikat.”

“Dengan ini saya lebih hebat daripada (Presiden Amerika Donald) Trump. Anda boleh tanya pihak berkuasa Amerika sama ada saya mengarahkan mereka. Saya akan taipkan arahan itu dan sumbatkan ke dalam tekaknya (Jho Low). Tetapi beliau (Jho Low) patut menerima itu,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top