Saturday , 23 June 2018

Home » Dunia » Pyongyang tolak bincang isu nuklear dengan Seoul

Pyongyang tolak bincang isu nuklear dengan Seoul

January 10, 2018 12:10 pm Category: Dunia A+ / A-
Pyongyang tolak bincang isu nuklear dengan Seoul

Ketua delegasi Korea Utara, Ri Son Gwon (kiri) berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Cho Myoung-gyon selepas rundingan antara kedua-dua negara yang berlangsung selama 11 jam, semalam.- Foto Reuters

SEOUL,. Korea Utara bertegas tidak menyentuh isu senjata nuklear dalam rundingan dengan Korea Selatan kerana ia hanya disasarkan ke atas Amerika Syarikat (AS) dan bukannya ‘saudaranya’ di Seoul.

Pyongyang mengeluarkan kenyataan itu selepas Korea Selatan mencadangkan satu rundingan diadakan bagi membincangkan isu nuklear.

Bagaimanapun, pegawai kedua-dua negara bersetuju bertemu semula bagi membincangkan pelbagai masalah yang timbul, di sebalik ketegangan hubungan susulan program senjata nuklear Korea Utara.

Namun, Pyongyang bertegas pelucutan senjata nuklear tidak akan menjadi sebahagian daripada agenda perbincangan terbabit.

“Semua senjata milik kami termasuk bom atom, bom hidrogen dan peluru berpandu balistik hanya akan digunakan terhadap AS, bukan ke atas ‘saudara kami’, juga buka terhadap China dan Russia.

“Ia juga bukan satu perkara yang perlu dibincangkan antara Korea Utara dan Korea Selatan.

“Usaha membincangkan isu ini akan menimbulkan kesan negatif dan mewujudkan risiko ke atas segala keputusan yang dicapai hari ini,” kata ketua perunding yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Semula Damai Tanah Air Korea Utara, Ri Son-gwon.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas rundingan antara kedua-dua negara yang berlangsung selama 11 jam, semalam, Pyongyang berjanji menghantar delegasi besar dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, bulan depan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih berkata, penyertaan Korea Utara dalam sukan Olimpik akan memberi peluang kepada negara itu menilai semula tindakan mereka dengan menamatkan program nuklearnya.

Bagaimanapun, Rumah Putih belum memberi sebarang maklum balas berhubung kenyataan bahawa Amerika Syarikat adalah satu-satu sasaran senjata nuklear Korea Utara.

– Reuters

scroll to top