Friday , 15 December 2017

Home » Bisnes » Qualcomm fail aduan baru terhadap Apple

Qualcomm fail aduan baru terhadap Apple

December 1, 2017 2:55 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Qualcomm fail aduan baru terhadap Apple

Qualcomm Inc

BENGALURU: Qualcomm Inc berkata ia memfailkan tiga aduan pelanggaran paten tambahan terhadap Apple Inc, mendakwa terdapat 16 paten miliknya digunakan Apple dalam iPhone.

Aduan terbaharu itu adalah perkembangan terkini dalam pertelingkahan yang sekian lama berlangsung dan menyusuli tuntutan Apple Rabu lalu terhadap Qualcomm, yang mendakwa cip telefon mudah alih Snapdragon Qualcomm melanggar paten Apple.

Apple enggan mengulas berhubung perkembangan terbaharu itu, sebaliknya merujuk kenyataan yang difailkan sebelum ini bahawa ia sudah membangunkan teknologi dan paten sendiri untuk digunakan dalam iPhone.

Qualcomm Julai lalu mendakwa Apple melanggar beberapa paten yang digunakan untuk melanjutkan hayat bateri dalam iPhone.

Kes itu bersama aduan lain di bawa ke Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan menghalang import Apple iPhone yang menggunakan cip Intel Corp kerana dakwaan pelanggaran paten.

Tiga kes difailkan Khamis di Mahkamah Daerah Selatan California di San Diego, yang mana satu daripadanya disertai tuntutan sivil.

Pertelingkahan antara Apple dan Qualcomm berhubung paten adalah sebahagian daripada peperangan perundangan yang berpanjangan antara kedua-dua syarikat itu.

Januari lalu, Apple menyaman Qualcomm bagi kira-kira AS$1 bilion berhubung rebat royalti paten yang didakwa Qualcomm dengan sengaja enggan membayarnya.

Dalam tuntutan berkaitan, Qualcomm menyaman pengeluar pihak ketiga yang membuat telefon Apple, tetapi Apple menyertai syarikat itu dalam pembelaan.

– Reuters

scroll to top