Tuesday , 23 July 2019

Home » Dunia » Raja Thailand luluskan kabinet awam baharu Prayut

Raja Thailand luluskan kabinet awam baharu Prayut

July 11, 2019 10:17 am Category: Dunia A+ / A-
Raja Thailand luluskan kabinet awam baharu Prayut

Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn. -Foto Reuters

BANGKOK,. Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn meluluskan satu kabinet awam baharu dipimpin Perdana Menteri Prayut Chan-ocha semalam, 108 hari selepas pilihan raya dipertikaikan serta perdebatan hangat antara parti dalam pakatan pemimpin rampasan itu.

Pengumuman mengenai kelulusan itu dibuat menerusi Warta Diraja.

Prayut, bekas ketua tentera dan pemimpin junta yang merampas kuasa pada 2014, dipilih sebagai Perdana Menteri oleh senator dilantik tentera dan pembuat dasar selepas pilihan raya mengikut sistem dikatakan pembangkang sebagai tidak adil.

Tugas paling penting kesemuanya digalas anggota bekas junta, namun beberapa portfolio penting ekonomi dipegang 19 parti yang memberi Prayut majoriti tipis di dewan rendah Parlimen.

“Ini adalah sebuah kerajaan untuk semua rakyat Thailand,” kata pejabat Prayut dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa menteri bekerja untuk ‘manfaat rakyat dan negara serta menggerakkan Thailand ke hadapan untuk semua dimensi walaupun banyak halangan,’ kata pejabatnya.

Namun pengkritik berkata, barisan kabinet itu, diumumkan selepas tawar-menawar untuk portfolio menteri yang berpotensi menguntungkan, menunjukkan tentera gagal menunaikan janji membersihkan politik.

“Kita kembali kepada politik sama didorong wang dan kepentingan selepas lima tahun pemerintahan junta,” kata Dekan Fakulti Sains Politik di Universiti Ubon Ratchathani, Titipol Phakdeewanich.

Penentang pemerintahan tentera mengadu, sistem pilihan raya diwujudkan untuk memastikan jeneral Thailand kekal berkuasa dan pelbagai halangan menyebabkan mereka kandas dalam pilihan raya umum 24 Mac lalu.

Parti pembangkang utama berkata, barisan kabinet lemah dan ada tanda konflik kepentingan dalam cara portfolio itu dikongsi.

“Kami tidak yakin mereka dapat menyelesaikan masalah rakyat. Kami percaya, kabinet ini tidak akan pergi jauh,” kata jurucakap Parti Pheu Thai, Laddawan Wongsriwong kepada Reuters.

Prayut juga dinamakan sebagai Menteri Pertahanan. Menteri Kewangan baharu ialah Uttama Savanayana, pemimpin Parti Palang Pracharat yang menyokong Prayut.

Uttama memegang portfolio industri dalam kerajaan junta dan sebelum itu memegang pelbagai jawatan dalam sektor swasta.

Penyokong setia Prayut daripada kerajaan tentera termasuk Prawit Wongsuwan, Somkid Jatusripitak dan Wissanu Krea-ngam kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anupong Paochinda kekal Menteri Dalam Negeri dan Don Pramudwinai sebagai Menteri Luar.

Namun Prayut berkongsi beberapa portfolio ekonomi penting dengan parti lain dalam pakatannya.

Parti Demokrat konservatif, memegang Kementerian Pertanian dan Perdagangan, Parti Bhumjaithai, yang meletakkan ganja di tengah agendanya, mengambil portfolio kesihatan, pengangkutan dan pelancongan.

“Ini lebih kepada menyamai kepentingan parti berbanding menamakan individu layak untuk tugas yang betul,” kata penganalisis politik di Universiti Rangit, Wancihit Boonprong. -Reuters

scroll to top