Sunday , 26 May 2019

Home » Nasional » Rajin, amanah, berdisiplin perlu jadi budaya untuk berjaya – Tun Dr Mahathir

Rajin, amanah, berdisiplin perlu jadi budaya untuk berjaya – Tun Dr Mahathir

May 16, 2019 2:35 pm Category: Nasional A+ / A-
Rajin, amanah, berdisiplin perlu jadi budaya untuk berjaya – Tun Dr Mahathir

GEORGE TOWN,. Sifat-sifat rajin, amanah dan berdisiplin perlu diterapkan dalam kalangan murid-murid supaya mereka dapat mengamalkannya dari awal lagi sehingga dapat menjadi budaya yang membawa kejayaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya ketiga-tiga nilai itu perlu dipegang dan diamalkan seluruh rakyat Malaysia untuk kekal maju serta berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

“Jika ada tiga nilai ini, kita pasti akan menjadi bangsa yang berjaya,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-48 di Pusat Konvensyen Setia Spice di Bayan Lepas, dekat sini.

Menurutnya Dasar Pandang ke Timur masih ditekankan oleh beliau kerana negara-negara Timur yang maju seperti Jepun dan Korea disegani dunia bukan hanya kerana kemajuan yang dicapai mereka tetapi juga kerana tiga nilai itu yang disemai dengan semangat patriotisme.

“Guru-guru dimuliakan kerana tugasnya amat murni iaitu mendidik anak-anak supaya mereka bersedia untuk melalui cabaran dan berpegang kepada nilai-nilai murni serta prinsip-prinsip sejagat,” katanya.

Dr Mahathir berkata guru-guru juga perlu menyediakan para pelajar bagi menghadapi perubahan-perubahan disruptif hasil dari pelaksanaan teknologi-teknologi baru dan canggih.

Katanya sistem pendidikan negara yang berhadapan dengan cabaran tersebut memerlukan satu anjakan paradigma bagi memastikan kelangsungannya terus relevan

“Ledakan teknologi dan revolusi digital menyaksikan perubahan drastik dalam persekitaran global yang memerlukan sistem pendidikan negara sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Beliau berkata komitmen kerajaan dalam memastikan bidang pendidikan negara sentiasa mendapat keutamaan terbukti melalui peruntukan berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan tahun ini.

“Peruntukan bantuan pendidikan sebanyak RM2.9 bilion turut disediakan untuk golongan miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai,” katanya.

Dr Mahathir turut meminta para guru untuk terus menanamkan minat dan kesedaran untuk menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Teknologi untuk seiring dengan aspirasi negara dalam memanfaatkan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Menurutnya kerajaan sekarang sedang memberi tumpuan khusus dalam program pendidikan teknik dan vokasional (TVET) yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dalam menghadapi gelombang IR 4.0.

“Kementerian Pendidikan sebagai penyedia pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional mestilah terus komited dalam memperkasakan kerjasama di antara industri dan mempergiatkan kolaborasi merentasi institusi TVET,” katanya.

Dalam majlis itu Dr Mahathir turut menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2019 kepada bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin dan anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2019 kepada bekas guru Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, Nawi Ismail.

— BERNAMA

scroll to top