Friday , 21 June 2019

Home » Dunia » Rakyat Indonesia mengundi hari ini

Rakyat Indonesia mengundi hari ini

April 17, 2019 3:09 pm Category: Dunia, Politik A+ / A-
Rakyat Indonesia mengundi hari ini

JAKARTA,. Rakyat Indonesia hari ini mengundi pada pilihan raya umum 2019 (Pemilu 2019), bagi memilih presiden untuk negara ketiga terbesar di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi itu.

Lebih 192 juta pengundi berdaftar atau tepatnya, 192,828,520 pengundi, layak untuk mengundi bagi memilih presiden Indonesia bagi tempoh 2019-2024.

Lebih 780,000 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian mula dibuka 7 pagi tadi hingga 1 tengah hari nanti, di seluruh Indonesia.

Pusat-pusat pengundian itu diadakan di sekolah, bangunan-bangunan kerajaan atau bangunan tertentu yang ditetapkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia.

Selain itu, KPU turut menggunakan taman-taman riadah, dengan memasang khemah untuk dijadikan pusat-pusat pengundian.

Pemilu 2019, pertama kali diadakan serentak bagi memilih Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024, pemilihan 711 anggota Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR), 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta anggota dewan legislatif seramai 19,500 orang melibatkan lebih 2,000 daerah dan perbandaran.

Tumpuan pastinya pemilihan presiden Indonesia atau Pilpres, melibatkan Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua bergandingan dengan gandingan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib presiden.

Pasangan itu akan ditentang bekas ketua tentera Prabowo Subianto, yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.

Jokowi, 57, dijadual mengundi di TPS 008, di Jalan Veteran Raya, Jakarta Pusat 11 pagi nanti, manakala pasangannya, Ma’ruf, 76, di TPS 051, Jalan Deli Lorong 27, Koja Jakarta Utara, pagi ini.

Prabowo, 57, mengundi di TPS 041, Kp. Curug 02/09, Desa Bojong Koneng, Kecamatan Babakan Madang Kabupaten Bogor, manakala Sandiaga, 49, di TPS 002 Jalan Sriwijaya 2 Belakang SMK 15 Kebayoran Baru Jakarta Selatan pagi ini.

— BERNAMA

scroll to top