Saturday , 17 November 2018

Home » Politik » Rakyat Persoal Sikap PAS Terhadap Sekutu – Ahmad Shabery

Rakyat Persoal Sikap PAS Terhadap Sekutu – Ahmad Shabery

May 3, 2015 7:27 am Category: Politik A+ / A-
Rakyat Persoal Sikap PAS Terhadap Sekutu – Ahmad Shabery

rakyatnews_Ahmad_Shabery-609x320

 

 

 

 

 

 

 

 

PERMATANG PAUH, 2 Mei (Bernama) — Rakyat akan mempersoalkan pendirian dan maruah PAS selepas parti itu sanggup melupakan hinaan DAP dan PKR terhadapnya berhubung isu hudud semata-mata untuk menang pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sikap PAS itu menjadi persoalan kerana mereka sebelum ini lantang menolak Barisan Nasional (BN) berhubung isu sama.

“Mengapa mereka tidak melakukan perkara sama terhadap komponen lain Pakatan Rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata keadaan itu membuktikan PAS hanyalah sebuah parti politik, bukannya pejuang Islam seperti yang mereka canangkan.

“Sekiranya PAS masih sokong PKR, saya kira ini masalah maruah mereka, parti yang pernah hina presiden mereka (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) masih diberi sokongan semata-mata untuk memenangi PRK (pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh).

“Selama ini pun, PAS menolak BN kerana hudud. Tiba-tiba ada parti lain yang terang-terang menolak hudud dan menentang mereka, malah ada yang nak ambil tindakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Kelantan kerana melaksanakan hudud,” katanya.

Semalam, kira-kira 50 anggota yang didakwa mewakili Pemuda PAS mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh bagi mendesak Angkatan Muda Keadilan dan DAP menarik balik kenyataan yang didakwa menghina Abdul Hadi berhubung isu hudud.

Namun, naib presiden PAS Salahuddin Ayub dilaporkan berkata perkara itu hanyalah kes terpencil dan PAS pusat akan terus membantu calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi PRK Permatang Pauh.

PRK Permatang Pauh pada Khamis ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin, Dr Wan Azizah, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

— BERNAMA

scroll to top