Thursday , 20 September 2018

Home » Ekonomi » RAM Ratings jangka ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus

RAM Ratings jangka ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus

August 18, 2018 8:14 am Category: Ekonomi A+ / A-
RAM Ratings jangka ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus

KUALA LUMPUR,. Pertumbuhan Malaysia tahun ini dijangka berdaya tahan pada 4.9 peratus berbanding 5.2 peratus yang diramalkan sebelum ini, disokong oleh penggunaan swasta yang teguh serta aktiviti import yang lebih perlahan.

Ram Ratings dalam satu kenyataan hari ini, berkata pengumuman mengenai inisiatif dasar fiskal, hala tuju negara dan kajian semula dasar pembangunan jangka panjang membabitkan Rancangan Malaysia Kesebelas akan memberikan lebih banyak panduan mengenai trajektori pertumbuhan ekonomi jangka pertengahan negara ini.

Menurut Ketua Penyelidikan Ram Ratings, Kristina Fong, 100 hari pertama pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dilihat sebagai permulaan kepada tempoh pelarasan semula ekonomi dan urusan ini memerlukan imbangan yang agak berhati-hati oleh para penggubal dasar dan perniagaan.

Penggunaan swasta akan terus menjadi daya penggerak bagi permintaan domestik pada tahun ini dengan jangkaan pertumbuhan 7.4 peratus selepas pelaburan swasta dijangka terus lemah.

“Rasionalisasi projek infrastruktur yang diwujudkan bagi menyederhanakan kapasiti aktiviti pembinaan, seperti yang dicerminkan dalam pandangan Indeks Keyakinan Perniagaan RAM bagi suku tahunan, menunjukkan pengurangan dorongan bagi aktiviti pelaburan marginal selepas kekangan kapasiti menjadi kurang.

“Oleh itu, pertumbuhan pelaburan swasta dijangka kurang kukuh daripada jangkaan iaitu pada 3.9 peratus berbanding sasaran kami sebelum ini iaitu sebanyak 8.3 peratus,” katanya.

Inflasi dijangka kekal stabil pada 1.3 peratus di belakang pengenalan cukai barang dan perkhidmatan berkadar sifar, subsidi bahan api dan sumbangan inflasi makanan yang lebih rendah daripada jangkaan.

Katanya, Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga lebih cenderung untuk diturunkan pada tahun ini, berikutan trajektori inflasi teras yang lebih rendah serta pertumbuhan yang sederhana.

“Bagaimanapun, kami meramalkan OPR akan berada pada 3.25 peratus bagi sepanjang tahun ini, memandangkan kami berpendapat ketidaktentuan dalam dasar yang berlarutan serta risiko makro akan terus menimbulkan kecenderungan aliran keluar modal.

“Kami berpendapat dasar monetari akan memainkan peranan yang lebih besar berikutan pengukuhan fiskal dilihat menjadi trend utama pada masa akan datang. Oleh itu, mengurangkan beban untuk rangsangan tambahan,” katanya.

– BERNAMA

scroll to top