Saturday , 17 November 2018

Home » Nasional » Ramai wakil Sabah, Sarawak dalam MA63 ambil kira keperluan

Ramai wakil Sabah, Sarawak dalam MA63 ambil kira keperluan

October 21, 2018 1:14 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Ramai wakil Sabah, Sarawak dalam MA63 ambil kira keperluan

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

GOMBAK,. Keputusan untuk melantik lebih ramai perwakilan dari Sabah dan Sarawak sebagai anggota Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu mengambil kira keperluan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata untuk merombak anggota dalam jawatankuasa berkenaan, ia memerlukan perbincangan terlebih dahulu antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga antara tokoh menganggotai Jawatankuasa MA63 itu berkata, lagi pun kerajaan sudah pun melantik barisan jawatankuasa MA63 yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berdasarkan perbincangan antara kedua-dua negeri itu.

“Keanggotaan (lantik majoriti wakil Sabah dan Sarawak) itu terpulang kepada keperluan dan perbincangan.

“Saya amat yakin perkara yang dibincang itu penting maka perwakilan dari Sabah dan Sarawak mesti ada.

“Keputusan itu telah pun dipersetujui namun jumlah itu tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan antara kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Pemilihan PKR cabang Gombak dekat Dewan Sri Siantan, Sungai Tua pagi tadi.

Beliau mengulas berhubung gesaan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang mahu majoriti ahli jawatankuasa MA63 dianggotai oleh wakil dari negeri itu termasuk Sabah.

Hal ini kerana, beliau bimbang wakil kedua-dua negeri yang tidak ramai dalam jawatankuasa itu boleh mempengaruhi keputusan bagi mengembalikan keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak.

Antara yang menganggotai jawatankuasa itu adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafee Apdal; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah; Peguam Besar Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid; Peguam Besar Sabah, Zaleha Rose Pandin; Peguam Negara, Tommy Thomas serta Profesor Undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menegaskan keanggotaan jawatankuasa untuk menyemak semula perjanjian 1963 ini sudah dipersetujui jemaah menteri Kabinet.

“Kita sendiri telah ambil pendirian supaya wakil dari Sabah dan Sarawak perlu ada dalam jawatankuasa ini dan telah pun dikenalpasti beberapa orang tokoh untuk menduduki jawatankuasa berkenaan.

“Saya percaya jawatankuasa ini dapat memberikan satu keyakinan baharu kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Ini adalah komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memastikan perjanjian 1963 itu dapat dilaksanakan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah serta Sarawak,” katanya.

scroll to top