Tuesday , 20 November 2018

Home » Bisnes » Realme Teroka pasaran Malaysia

Realme Teroka pasaran Malaysia

November 8, 2018 10:43 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Realme Teroka pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR,. Realme, jenama telefon pintar yang sedang berkembang di pasaran global memperkenalkan rangkaian peranti terbaharunya, Realme 2, Realme 2 Pro dan Realme C1 di pasaran Malaysia khusus untuk golongan muda.

Pengurus Jenama Realme Malaysia, Tiffany Teh, berkata dengan gabungan teknologi dan prestasi peranti pada harga mampu milik, pihaknya yakin ia dapat menarik minat kumpulan muda di negara ini untuk memiliki telefon pintar Realme.

Beliau berkata, telefon pintar Realme 2 berharga bermula daripada RM599, Realme 2 Pro (RM849) dan Realme C1 (RM449), akan ditawarkan secara dalam talian di platform Lazada dan Shopee.

“Telefon pintar Realme C1 akan ditawarkan pada harga promosi iaitu RM399 di platform beli-belah dalam talian, Lazada bermula 22 November ini.

“Selari dengan slogan ‘Proud to be Young’ kami begitu yakin penjualan di Malaysia akan mendapat sambutan yang menggalakkan, sama seperti di Indonesia dan India pada bulan lalu.

“Realme menyaksikan rekod jualan yang hebat di India iaitu sebanyak 200,000 unit Realme 2 dijual dalam tempoh lima minit selepas ia dilancarkan secara rasmi, manakala di Indonesia, 15,000 unit Realme 2 hanya dalam 10 minit,” katanya pada majlis pelancaran telefon pintar Realme di sini, hari ini.

Teh berkata, Realme 2 adalah telefon pintar terbaik dalam kelasnya tersendiri, yang menawarkan bateri berkapasiti sehingga 4,230mAh dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memberi ketahanan sehingga 44 jam.

Katanya, model itu juga menggunakan teras pemprosesan Qualcomm Snapdragon 450 serta dua versi simpanan iaitu 3GB RAM dan 32GB ROM serta 4GB RAM dan 64GB ROM, memberikan ruang simpanan untuk gambar, video dan permainan yang lebih banyak.

“Memandangkan ia disasarkan kepada golongan muda, kamera untuk Realme 2 juga adalah terbaik dengan 13 megapiksel (MP) untuk kamera belakang dan 2MP untuk bahagian depan dengan pelbagai ciri fotografi,” katanya.

Bagi model Realme 2 Pro, ia mempunyai kapasiti bateri 3,500mAh, kamera hadapan 16MP, sensor IMX398 untuk menyokong pemfokusan dua teras serta ciri kecantikan AI bagi mengenalpasti 296 titik pengesanan wajah dan lebih lapan juta penyelesaian gambar.

Model Realme C1 pula mempunyai dual kamera, pemproses Qualcomm Snapdragon 450, dual kad sim dan mempunyai mod AI bagi swafoto dan 16.7 juta warna skrin menjadikannya lebih jelas dan nyata.

scroll to top