Monday , 24 September 2018

Home » Artikel Pilihan » Reformasi Rakyat Telah Bersuara – Penganalisis

Reformasi Rakyat Telah Bersuara – Penganalisis

May 11, 2018 10:29 am Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
Reformasi Rakyat Telah Bersuara – Penganalisis

SHAH ALAM,. Tsunami rakyat yang bergabung untuk mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam membuktikan mereka punya kuasa untuk menaikkan dan menjatuhkan sesebuah kerajaan.

Penganalisis politik, Prof Dr Nasrudin Mohamed berkata, rakyat Malaysia selama ini bersikap budiman dengan memberi banyak peluang, sabar dan menerima apa saja yang dilakukan kerajaan terhadap mereka.

“Kita sering mengambil sikap menolak provokasi dan konfrantasi. Namun selepas melihat kerajaan di beberapa negara sekeliling kita tumbang satu persatu, akhirnya rakyat Malaysia juga bertindak membawa perubahan di negara ini.

“Selepas reformasi di Jepun, Thailand, Taiwan serta Indonesia, kini giliran rakyat Malaysia melakukan reformasi yang dilakukan dengan cara molek dan cantik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) banyak didorong oleh kesediaan serta keredaan rakyat itu sendiri (suara rakyat) yang tidak dilontar secara fizikal tetapi menerusi semangat yang tinggi.

“Perubahan kerajaan ini adalah sesuatu yang bagus untuk negara secara amnya kerana ia adalah suara majoriti rakyat yang memilih.

“Ini kemahuan rakyat dan kerajaan yang memerintah selepas ini perlu akur dan menghormati suara rakyat yang jelas mampu membawa perubahan besar kepada sesebuah kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan turut mendoakan peralihan kuasa berkenaan berjalan lancar dan diterima rakyat secara baik.

Dalam PRU-14 semalam, negara dikejutkan dengan gelombang tsunami rakyat yang menolak pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun serta memilih PH untuk membentuk kerajaan baharu.

Gabungan parti politik dalam PH berjaya memenangi 20 kerusi Parlimen dan 51 kerusi DUN di Selangor dalam PRU-14 semalam.

scroll to top