Sunday , 27 May 2018

Home » Bencana » Ribuan penduduk terjejas banjir di Jakarta dipindahkan

Ribuan penduduk terjejas banjir di Jakarta dipindahkan

February 6, 2018 2:19 pm Category: Bencana, Dunia A+ / A-
Ribuan penduduk terjejas banjir di Jakarta dipindahkan

JAKARTA,. Ribuan penduduk di ibu kota Indonesia, di sini, dipindahkan akibat banjir, kata gabenor Jakarta hari ini, meskipun limpahan air sungai berpunca daripada pelepasan air dari takungan dilihat mulai surut.

Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di beberapa bandar satelit di sekitar Jakarta yang turut menyaksikan lapan orang hilang susulan dua kejadian runtuh di sekitar kota Bogor, lapor polis.

Rakaman televisyen hari ini menyiarkan mangsa dihanyutkan air deras bercampur lumpur di beberapa kawasan di Jakarta.

Gabenor Kota, Anies Baswedan berkata, kira-kira 6,500 mangsa terjejas banjir yang kebanyakan tinggal di bahagian selatan serta timur Jakarta sudah dipindahkan.

“Kami memastikan mangsa terbabit menerima bantuan sewajarnya,” kata Baswedan dalam satu kenyataan yang turut memaklumkan, banjir mulai surut di bandar Manggarai.

Sehari sebelumnya, rakaman dramatik televisyen menunjukkan aliran deras air sungai bercampur lumpur merempuh jalan sekali gus menumbangkan pokok dan memusnahkan perkampungan terletak di kawasan berbukit di sekitar Jakarta.

Pihak berkuasa terpaksa melepaskan air dari takungan di hulu kota Bogor selepas paras air didapati menunjukkan amaran bahaya.

– Reuters.

scroll to top