Thursday , 18 January 2018

Home » Bencana » Ribut petir, angin kencang di pantai Timur, Sabah, Sarawak

Ribut petir, angin kencang di pantai Timur, Sabah, Sarawak

January 14, 2018 8:38 am Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Ribut petir, angin kencang di pantai Timur, Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR,. Amaran ribut petir dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini di beberapa kawasan, iaitu di perairan Sarawak (Mukah dan Bintulu), Sabah di Kudat dan Sandakan, Tioman, Bunguran, Sulu dan Palawan.

Selain itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang juga turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah seperti Pantai Barat (daerah Ranau, Kota Belud dan Tuaran), Kudat dan Sandakan (daerah Beluran dan Sandakan) sehingga jam 9 pagi ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataannya berkata, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan melebihi 60 kmsj dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter turut dijangka berlaku di kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, barat laut Bunguran, Condore, barat laut Reef North, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Situasi itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak.

Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan tengah Samui, utara Tioman, tenggara Bunguran, tengah Reef North, Layang-layang, barat laut Reef South, barat laut Palawan dan Kelantan.

Ia berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Bagi amaran kategori pertama, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan utara Samui, tenggara Reef North, tenggara Reef South, Labuan, Palawan, perairan Sarawak, Sabah (pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berakhir hari ini.

scroll to top