Tuesday , 20 November 2018

Home » Bisnes » Ringgit dibuka rendah

Ringgit dibuka rendah

November 9, 2018 1:07 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan mata wang AS itu yang kukuh mengekang permintaan terhadap unit tempatan, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1735/1765 berbanding dolar US daripada 4.1620/1670 semasa dicatatkan pada 6 petang pada Khamis.

Dolar AS pulih daripada penurunan selepas pilihan raya separuh penggalnya dan mengukuh selepas Rizab Persekutuan negara itu mengekalkan dasar monetarinya tidak berubah, tetapi memberi isyarat kenaikan kadar faedah secara berperingkat pada masa akan datang.

“Ini meningkatkan minat untuk mengambil risiko terhadap mata wang selamat, memberi tekanan kepada mata wang sedang pesat membangun,” kata peniaga kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.25 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari kelima berturut-turut, selepas meningkatkan 25 mata asas pada Januari tahun ini.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA Stephen Innes berkata BNM berpegang kepada dasar neutral, tetapi ia mempunyai kecenderungan yang menyokong jangkaan pasaran yang meningkat terhadap pengurangan kadar pada separuh kedua 2019, atau lebih awal.

Sementara itu, Alliance DBS Research percaya bank pusat akan memastikan OPR stabil pada kadar semasa, sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2019, berikutan tiada gesaan untuk melaksanakan sebarang perubahan kadar pada masa ini.

“Bagaimanapun, terdapat kemungkinan kajian semula pengurangan kadar sebanyak 25 mata asas untuk merangsang aktiviti ekonomi, jika pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar berada di bawah empat peratus pada suku tahun akan datang,” katanya dalam nota.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi kecuali yen Jepun apabila mata wang tempatan susut kepada 3.6626/6655 daripada 3.6605/6659 pada Khamis.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0337/0364 daripada 3.0344/0385 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4510/4553 daripada 5.4589/4659 dan naik berbanding euro kepada 4.7436/7474 daripada 4.7534/7600.

-BERNAMA

scroll to top