Monday , 10 December 2018

Home » Bisnes » Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

May 7, 2018 11:45 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan peningkatan harga minyak dan ketegangan di Iran.

Sehingga pada 9.00 pagi, unit tempatan disebut pada 3.9370/9420 berbanding dolar AS daripada 3.9390/9420 dicatatkan pada Jumaat lalu.

Peniaga berkata harga minyak di New York melonjak kepada hampir AS$70 setong, angka kali terakhir dilihat sejak akhir 2014, susulan kebimbangan mengenai AS mengenakan semula sekatan ke atas Iran, pengeluar dan pengeksport minyak mentah kedua terbesar dalam kalangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Beliau juga berkata sentimen dalam pasaran sebahagiannya didorong oleh semakan semula yang positif ke atas unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2018 oleh Moody’s Investors Service pada Jumaat.

Moody’s menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK kepada 5.4 peratus berbanding 5.2 peratus yang diunjurkan sebelum ini, disokong oleh projek infrastruktur yang besar yang akan merangsang pelaburan awam dan swasta.

Ketua Global Strategi Mata Wang dan Kajian Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata minggu ini penting bagi Malaysia dengan pelbagai aktiviti pasaran yang perlu dipantau oleh pelabur.

“Pilihan Raya Umum, jualan runcit dan keputusan kadar faedah yang terkini hanya beberapa daripada pelbagai pengumuman dari Malaysia pada minggu ini,” katanya.

Selain itu, Mesyuarat Dasar Monetari pada 10 Mei dengan kebanyakan penganalisis menjangka Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 3.25 peratus.

“Bagaimanapun, kenyataan yang disertakan susulan keputusan itu masih akan dipantau, sekiranya terdapat sebarang petunjuk diberikan mengenai kedudukan kadar faedah pada masa depan,” kata Jameel.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali pound British, yang meningkat kepada 5.3327/3398 daripada 5.3389/3446.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 2.9537/9583 daripada 2.9523/9548 pada Jumaat, susut berbanding yen kepada 3.6136/6192 daripada 3.6095/6132, dan rendah berbanding euro kepada 4.7114/7186 daripada 4.7103/7154.

– BERNAMA

scroll to top