Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi hari ini meneruskan prestasi baiknya daripada minggu lepas, mendapat rangsangan daripada minat tinggi pelabur global terhadap aset berisiko yang termasuk mata wang ASEAN, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1700/1750 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1780/1830 pada Jumaat minggu lepas.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena dengan cuti umum sambutan ulang tahun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Padar strategi pasaran Axi Trader Asia-Pacific Stephen Innes berkata penurunan indeks dolar AS dan kekukuhan yuan China juga membolehkan pasaran modal Asia mempunyai kos faedah lebih rendah bagi melunaskan hutang asing.

“Yang paling penting, manfaat yuan yang semakin mengukuh adalah ia mempunyai kesan pengimbang bagi meredakan konflik perdagangan,” kata Innes.

Di dalam negara, Innes berkata para pelabur memantau dengan rapat mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) ke-5 yang dijadualkan pada Khamis.

“Beberapa bank menjangkakan MPC akan membuat penurunan kadar meskipun kejutan dalam angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua, manakala yang lain merasakan ia dikekalkan,” katanya.

Pada 7 Mei, BNM mengurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus, penurunan kadar faedah pertamanya sejak Julai 2016.

Innes berkata penurunan kadar itu dilihat sebagai positif bagi ringgit kerana ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan langkah itu boleh meningkatkan sentimen ekuiti dan pelaburan.

Sementara itu, ringgit dibuka kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0191/0238 daripada 3.0221/0261 yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas dan naik berbanding yen kepada 3.8805/8863 daripada 3.9050/9101.

Bagaimanapun ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.1462/1528 daripada 5.1385/1463 tetapi naik sedikit berbanding euro kepada 4.6045/6105 daripada 4.6079/6147.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)