Monday , 23 April 2018

Home » Bisnes » Ringgit rendah berbanding dolar

Ringgit rendah berbanding dolar

March 16, 2018 11:10 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Ringgit rendah berbanding dolar

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disebabkan kekurangan permintaan, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 3.9250 / 9290 daripada 3.9160 / 9200 pada penutup semalam.

Ketua Perdagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata ringgit kurang menguntungkan minggu ini berikutan pengalihan keluar suku akhir.

“Ketika ini dijangkakan dolar AS tinggi berbanding ringgit dalam kekuatan dolar yang lebih luas dan peningkatan hasil bon AS.

“Sentimen risiko yang memudaratkan pasaran ekuiti serantau akan menjadi perjuangan, dan ditambah dengan ancaman aliran keluar serantau.

“Peningkatan retorik perang perdagangan juga dapat menyentuh semua sentimen mata wang serantau, yang menyeret ringgit untuk sama turun,” katanya.

Seorang peniaga lain berkata dolar AS menjadi mata wang tumpuan semalaman dalam pasaran dan semakin meningkat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang dijadualkan pada 19 Mac, dengan bank pusat dijangka menaikkan kadar faedahnya.

“Tetapi dengan pengumuman positif oleh Perdana Menteri semalam bahawa ringgit akan berdagang lebih tinggi berbanding dolar AS, kami berharap ia akan mendorong lebih banyak belian untuk ringgit atau sekurang-kurangnya menyekat ringgit daripada terus lemah (berbanding dolar Amerika Syarikat),” katanya.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata ringgit dijangka melonjak kepada 3.80 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, disokong oleh petunjuk positif, termasuk prestasi ekonomi dan eksport ekonomi negara yang bernilai lebih RM80 bilion pada suku pertama tahun ini.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur dengan sekumpulan mata wang baru muncul.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9834 / 9876 daripada 2.9893 / 9942 pada hari Khamis dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8285 / 8350 daripada 4.8398 / 8455.

Berbanding yen, ringgit sedikit lebih rendah pada 3.6966 / 7007 daripada 3.6957 / 7002 dan menurun kepada 5.4663 / 4739 daripada 5.4585 / 4653 berbanding pound British.

-BERNAMA

scroll to top