Monday , 10 December 2018

Home » Bisnes » Rizab Malaysia kekal stabil kata Maybank Investment

Rizab Malaysia kekal stabil kata Maybank Investment

March 9, 2018 4:12 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Rizab Malaysia kekal stabil kata Maybank Investment

Suhaimi Ilias

KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) kekal stabil disokong aliran berkaitan perdagangan yang berdaya tahan, sungguhpun mencatat jualan asing bersih dalam kedua-dua ekuiti dan bon di tengah-tengah pembetulan dan naik turun pasaran global, kata Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias.

Rizab luaran kasar negara pada akhir Februari 2018 berada pada AS$103.7 bilion, tidak berubah berbanding akhir Januari 2018.

“Sungguhpun di tengah-tengah portfolio aliran modal yang turun naik, rizab luaran disokong aliran masuk berkaitan perdagangan yang berterusan menerusi penghantaran balik pendapatan eksport.

“Pertumbuhan eksport meningkat pantas pada Januari 2018 sebanyak 17.9 peratus tahun-ke-tahun (Disember 2017: +4.7 peratus) disumbang lebihan dagangan lebih besar pada RM9.8 bilion,” katanya dalam satu nota pagi ini.

Suhaimi berkata, rizab luaran dijangka meneruskan aliran menaik secara perlahan-lahan tahun ini sungguhpun dalam persekitaran naik turun dalam portfolio aliran modal.

Beliau berkata, pelabur asing bertukar penjual bersih dalam kedua-dua ekuiti dan bon Malaysia bulan lalu pada RM1.1 bilion (Jan 2018: +MYR3.4 bilion) selari pembetulan pasaran global dan naik turun pasaran disebabkan kebimbangan berhubung normalisasi monetari yang lebih agresif oleh bank pusat utama dunia, khususnya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) disebabkan faktor risiko inflasi.

Pemangkin lain bagi penjualan asing bersih dalam pasaran saham dan bon Malaysia bulan lalu termasuk terhentinya pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, selain penjualan bersih asing yang berkait kematangan MYR14.1 bilion MGS pada 7 Februari 2018.

Peningkatan perlahan rizab negara juga katanya, disebabkan proses perungkaian berterusan BNM ke atas kedudukan pendek tukaran asing bersih yang meningkat antara Oktober 2016 dan April 2017.

Komponen utama rizab antarabangsa bulan lalu ialah rizab mata wang asing (AS$97 bilion), kedudukan rizab Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$0.8 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.2 bilion), emas (AS$1.5 bilion), dan aset rizab lain (AS$3.1 bilion).

Aset berkenaan termasuk emas dan tukaran wang asing serta rizab lain termasuk SDR (RM419.06 bilion), kertas kerajaan Malaysian (RM4.46 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM8.38 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.55 bilion), tanah dan bangunan (RM4.18 bilion), dan aset lain (RM10.28 bilion).

scroll to top