Saturday , 17 November 2018

Home » Ekonomi » RMK11: UPKO sambut baik terutama pengagihan kuasa

RMK11: UPKO sambut baik terutama pengagihan kuasa

October 20, 2018 9:19 am Category: Ekonomi, Nasional, Politik A+ / A-
RMK11: UPKO sambut baik terutama pengagihan kuasa

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau

KOTA KINABALU,. Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menyambut baik Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), terutamanya penekanan berkaitan pengagihan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata bagi UPKO cadangan pengagihan kuasa ketiga-tiga cabang berkenaan dalam kajian itu yang dibentangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat, pada Khamis, sangat penting supaya ada sistem semak dan imbang dalam unit-unit kerajaan.

“Begitu juga dengan pengagihan kuasa di peringkat pusat, negeri dan daerah. Ia perlu ada sistem semak dan imbang serta penekanan dalam hal-hal ketelusan perkara itu sangat kita alu-alukan.

“UPKO juga sangat mengalu-alukan penekanan baru dan keutamaan diberikan kepada orang-orang asal Sabah, Sarawak dan Semenanjung terutama dari segi penyertaan masyarakat orang asal dalam bidang keusahawanan dan ekonomi,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UPKO di sini pada Jumaat.

Beliau seterusnya berharap penekanan baharu berhubung orang asal itu dapat dilaksanakan dengan mencapai sasaran ditetapkan.

“Kita tidak mahu seperti Rancangan Malaysia kelapan kerana pada masa itu perkara mengenai orang-orang asal diutarakan namun pelaksanaannya tidak baik. Oleh itu kita mahu ada pemantauan terhadap penekanan baharu itu agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta mencapai sasaran.

“Salah satu cara ia dapat dilaksanakan dengan baik ialah autonomi kepada Sabah dan Sarawak…sekiranya autonomi itu tidak diberikan, kita tidak dapat pastikan bantuan diberikan sampai kepada sasaran. Contohnya, jika keputusan masih lagi dibuat di peringkat pusat dan bukan di negeri ia tidak akan sampai ke sasaran,” katanya.

Pada masa sama, Madius berkata mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal adalah langkah sangat baik.

“UPKO menyokong langkah berkenaan kerana kita melihat bila seseorang memegang jawatan itu terlalu lama ia akan menyebabkan penyalahgunaan kuasa. Kita lihat dua penggal sudah mencukupi untuk melaksanakan misi dan visi pemerintahan,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top