Saturday , 15 December 2018

Home » Nasional » Rosmah, Tengku Adnan didakwa hari ini

Rosmah, Tengku Adnan didakwa hari ini

November 15, 2018 6:29 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Rosmah, Tengku Adnan didakwa hari ini

KUALA LUMPUR,. Empat individu termasuk isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan didakwa di mahkamah hari ini dalam dua pertuduhan berbeza.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam satu kenyataan pada Rabu menyebut Rosmah dan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Rizal Mansor akan dituduh berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak pada 15 November 2018, jam 2.30 petang di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
SPRM memaklumkan telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap Rosmah dan Rizal.

Rosmah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12 tengah hari semalam bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

Tengku Adnan pula telah ditahan berhubung siasatan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada jam 3.25 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada Rabu.

Tengku Adnan akan dituduh bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh dan waktu yang sama esok.

Tengku Adnan baru-baru ini dilaporkan mengakui SPRM telah memanggilnya lebih 12 kali berhubung isu penjualan tanah milik DBKL semasa beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

scroll to top